HomeUtamaKompleks IADA KB bakal siap menjelang 2027

Kompleks IADA KB bakal siap menjelang 2027

Read Time:1 Minute, 57 Second

Kota Belud : Pembinaan Kompleks Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud yang bakal menjadi mercu tanda kepada pembangunan industri padi dan beras negara dijangka dapat disiapkan menjelang tahun 2027.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, proses tender bagi pembinaan kompleks itu diharap dapat diselesaikan pada tahun ini.

“Kerja-kerja tapak kini sudah selesai dilaksanakan dan kita berharap pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dapat membuka tender projek Pembangunan IADA Kota Belud pada tahun ini.

“Sekiranya projek ini berjaya ditender pada tahun ini, Kompleks IADA Kota Belud dijangka akan dapat disiapkan pada tahun 2027,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke pejabat IADA Kota Belud di sini hari ini.

Arthur berkata, pihaknya turut menyatakan komitmen untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya bagi membincangkan alternatif untuk mempercepatkan lagi proses tender tersebut.

Katanya, kompleks tersebut juga akan turut menyumbang kepada pembangunan kawasan yang lebih holistik di mana aktiviti-aktiviti pembangunan kepada pesawah dapat diuruskan dengan lebih cekap.

“Kompleks ini juga akan menjadi pusat latihan kepada pesawah bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pembangunan industri padi, bengkel jentera pertanian, makmal analisis pertanian dan lain-lain,” katanya.

Pembinaan Kompleks IADA itu adalah selaras dengan usaha Kerajaan untuk memperkasa peranan IADA dan membantu pembangunan negeri Sabah khususnya sektor tanaman padi di daerah Kota Belud.

Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM36 juta pada tahun 2022 bagi tujuan pembinaan Kompleks IADA.

Dalam pada itu, Arthur berkata, kementeriannya juga telah berjaya membawa masuk benih padi baharu Siraj MR 297 dan MR 269 ke negeri Sabah dengan kerjasama MAFFI untuk peningkatan SSL negeri Sabah dan pendapatan pesawah tempatan. 

Katanya, inisiatif ini akan memberi lebih banyak pilihan benih padi kepada pesawah kita di Sabah. 

“Buat masa sekarang, varieti padi tersebut berada di plot percubaan Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran bagi melihat keberkesanan dan potensi pengeluaran varieti padi tersebut. 

“Saya yakin benih padi yang baharu ini akan dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi dalam masa yang sama meningkatkan pendapatan pesawah,” katanya.

Terdahulu, Arthur turut berkesempatan beramah mesra bersama para pesawah di sekitar Kota Belud dan menyerahkan Mock Cheque Pembangunan Kawasan Sawah Padi (setakat Mac 2024) serta Jentera Pembajak dan Jentuai Padi Koperasi Pesawah Kota Belud dan juga bantuan bagi pembelian Pam Air dengan nilai keseluruhan berjumlah RM707,772.

Banntuan itu akan memberi manfaat kepada lebih kurang 600 orang pesawah. – SABAH MEDIA / FOTO KPKM

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular