Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperketatkan syarat permohonan bagi pengoperasian taman hiburan atau ‘funfair’ di bandar raya ini susulan insiden kemalangan membabitkan pengunjung sebuah taman hiburan di Likas, di sini, Rabu lalu.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pihaknya turut menetapkan penganjur untuk mengemukakan tarikh terkini penyelenggaraan peralatan permainan selain rekod penganjuran terdahulu semasa memohon permit.
“Dari segi mendapatkan lesen (permit), sememangnya pihak DBKK melihat sama ada mereka (pengendali taman hiburan) memenuhi syarat yang ditetapkan oleh DBKK. Mungkin juga pada masa akan datang kita akan melihat tarikh terkini bilakah mesin digunakan taman hiburan itu diselenggara.
“Selain itu, kita juga akan melihat rekod sebelum ini sama ada di Kota Kinabalu atau tempat lain, adakah ia (taman hiburan) pernah mengalami keadaan seperti ini (kemalangan) atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Wanita DBKK di sini semalam.
Sabin berkata demikian bagi mengulas tindakan DBKK terhadap pengendali sebuah taman hiburan di Likas selepas dua pengunjung dilaporkan parah akibat terpelanting ketika menaiki ‘sotong ride’.
Katanya, jika taman hiburan yang ingin memohon permit didapati pernah dilaporkan mengalami insiden kemalangan, DBKK tidak akan memberi pertimbangan mendapatkan permit untuk beroperasi.
Taman hiburan yang dibuka setiap malam itu beroperasi sejak 2 Februari lalu dan permitnya dijadualkan tamat pada 10 Mac 2024.