HomeUtamaBina muka sauk kedua diluluskan, atasi kekurangan air di Papar

Bina muka sauk kedua diluluskan, atasi kekurangan air di Papar

Read Time:2 Minute, 57 Second

PAPAR: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meluluskan peruntukan segera pembinaan muka sauk (water intake) kedua bagi menyalurkan Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) di Kampung Limbahau dekat sini.

Justeru, Hajiji mengarahkan Jabatan Air dengan kerjasama Jetama Sdn Bhd membina muka sauk kedua itu sebagai tindakan jangka masa panjang untuk mengatasi masalah bekalan air di Papar.

“Ini bukan saja dapat menyelesaikan masalah air di Papar tetapi sebagai tindakan jangka masa panjang, kerana setiap tahun mungkin kita mengalami masalah kemasukan air masin ke water intake Limbahau ini kerana ia tidak jauh daripada muara.

“Jadi kalau ada satu yang baharu (water intake) tiada lagi masalah, jika di sini tutup, sana boleh mengeluarkan bekalan air. Jadi sebab itu yang dimaksudkan dengan peruntukan segera daripada kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat LRA EWSS Limbahau hari ini.

Pembinaan muka sauk kedua dicadangkan di Kg Kabang yang terletak lebih jauh di hulu Sungai Papar bagi mengelak berulangnya kemasukan air masin yang telah memaksa penutupan LRA EWSS Limbahau.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali telah mencadangkan muka sauk kedua dibina di Kg Kabang digunakan sebagai muka sauk alternatif kepada sumber air mentah apabila muka sauk sedia ada mengalami masalah.

Dalam tinjauan itu, Hajiji diberi taklimat oleh Jurutera Air Daerah Afiq Abqari Nain bahawa paras kemasinan di pengambilan air LRA EWSS Limbahau telah melebihi 4,000 miligram seliter (mg/L), iaitu jauh lebih daripada standard maksimum hanya 120 mg/L. Air masin telah mengalir sejauh 13 kilometer (km) ke Sungai Papar, mengatasi muka sauk LRA EWSS Limbahau iaitu kira-kira 8 km dari muara Sungai Papar.

Hajiji juga diberitahu bahawa penutupan LRA EWSS Limbahau sejak 17 Feb ditambah pula dengan dua loji air lain di Papar iaitu Jetama dan Kogopon tidak beroperasi sepenuhnya.

Keadaan ini telah mengakibatkan penurunan pengeluaran kepada 35 juta liter sehari (MLD) berbanding kapasiti penuhnya sebanyak 63 MLD.

“Saya datang ke sini hari ini untuk melihat keadaan sebenar di Papar yang memerlukan tindakan bersepadu daripada semua agensi berkaitan. Berdasarkan taklimat daripada Pegawai Daerah, Jurutera Daerah dan Pengarah Jabatan Air Negeri, saya dapat lihat tindakan telah diambil untuk mengurangkan beban rakyat.

“Adalah penting kita melakukan segala yang kita mampu untuk membantu rakyat,” katanya.

Ketua Menteri turut diberi taklimat bahawa penutupan LRA EWSS adalah kerana kemarau berpanjangan telah berlaku mengakibatkan kekurangan air kritikal yang menjejaskan kira-kira 150,000 penduduk di daerah itu.

Dalam taklimatnya, Pegawai Daerah Mohd Fuad Abdullah berkata Pejabat Daerah telah membekalkan air menggunakan tangki air terus kepada mereka yang terjejas dan empat tangki statik.

Air juga boleh didapati di ibu pejabat Jabatan Air Daerah.

“Saya berharap penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki air akan diteruskan dan jika perlu. Jadi, Kerajaan Negeri akan membayar bil untuk air tambahan,” kata Hajiji.

Pada masa sama, beliau berkata pembenihan awan sedang dipertimbangkan kerana kawasan tadahan air bergantung kepada kesesuaian awan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Air Suhaimi Asbullah, berkata pengeluaran air di seluruh negeri telah turun kepada 1,466.29 JLH berbanding 1,534 JLH pengeluaran biasa berikutan penutupan LRA EWSS Limbahau dan LRA Sebatik.

Seterusnya, Hajiji juga melawat lokasi muka sauk alternatif Jetama di Kg Kabang di mana muka sauk kedua yang dicadangakan untuk LRA EWSS Limbahau.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya, Timbalan Menteri Kerja Raya , Datuk Limus Juri dan Datuk Robert Tawik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Bahadar Khan, Setiausaha Tetap, Kementerian Kewangan, Datuk Sofian Alfian Nair dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datuk Jasmine Teo.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular