HomeUtamaWarga ESSCOM diseru ganding bahu jadikan ESS Zone destinasi sejahtera untuk dikunjungi

Warga ESSCOM diseru ganding bahu jadikan ESS Zone destinasi sejahtera untuk dikunjungi

Read Time:1 Minute, 55 Second

Lahad Datu : Seluruh warga Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) diseru untuk terus berganding bahu dan memastikan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) terus menjadi sebuah destinasi yang selamat untuk dikunjungi.

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata, selain itu ia juga bagi memastikan ESS Zone berada dalam keadaan sejahtera untuk semua selain dapat menikmati hasil pertumbuhan ekonomi yang mapan.

Katanya, penubuhan ESSCOM 11 tahun lalu susulan insiden pencerobohan Tanduo merupakan satu keputusan berat dan kritikal yang diambil pada ketika itu.

“Ternyata, keputusan tersebut adalah tepat dan membawa kesan yang terbaik untuk hari ini khususnya dari aspek politik, ekonomi, sosial dan juga melakar sejarah penubuhan ESSCOM itu sendiri.

“Justeru, saya meminta agar seluruh warga ESSCOM untuk terus komited melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh profesional dan berintegriti bagi memastikan ESS Zone kekal aman, tenteram, makmur dan berdaulat, seterusnya mengekalkan rekod sifar penculikan sejak 15 Januari 2020 hingga kini.

“Suka saya tekankan di sini bahawa ESSCOM sangat komited untuk mengangkat semula imej ESS Zone sebagai Zon Sejahtera dan telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan untuk mengubah warna peta ESS Zone daripada merah kepada putih sebagai simbolik kesejahteraan ESS Zone,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Hari Ulang Tahun Ke-11 (HUT11) ESSCOM di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali; Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd. Dzul dan Pengarah Hospital Lahad Datu, Dr. Andi Md Shamsureezal Dato’ Mohd Sainal.

Victor turut berharap agar komitmen dan kerjasama padu seluruh warga ESSCOM, pasukan keselamatan, Jabatan dan agensi di ESS Zone terus diperkukuh agar kedaulatan negara kekal terpelihara dan ketenteraman awam terus terjamin.

“Malah, kesudian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berserta rombongan anakanda yang sudi bercemar duli ke ESSCOM dan daerah ESS Zone bersempena dengan Kembara Kenali Borneo di Negeri Sabah tahun lalu juga amat signifikan dengan keadaan keselamatan di ESS Zone masa kini,” katanya.

Terdahulu, Dr. Jamaluddin ketika berucap turut menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh warga ESSCOM kerana seiring dengan kematangan usia yang memasuki dekad kedua.

Katanya, bahagian keselamatan dan awam ESSCOM telah bersama-sama menjadikan ESSCOM sebuah agensi yang unggul. – SABAH MEDIA  / FOTO ESSCOM

RELATED ARTICLES
Utama

Pasukan sukarelawan dicadang diwujudkan bantu mangsa banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular