HomeIsu tempatanJaga kesihatan, keselamatan diri ketika bertugas - Mohd Fuad

Jaga kesihatan, keselamatan diri ketika bertugas – Mohd Fuad

Read Time:1 Minute, 45 Second

Papar : Para petugas barisan hadapan khususnya yang terlibat dengan bencana kemarau di daerah ini dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kesihatan sepanjang bertugas.

Pegawai Daerah Papar Mohd Fuad Abdullah berkata, ini termasuklah mengutamakan keselamatan diri lebih-lebih lagi apabila berdepan cuaca panas yang melanda negara pada ketika ini.

“Meski berdepan dengan cuaca panas dan bekerja dalam bulan Ramadan, golongan barisan hadapan tetap komited dengan tugas yang diamanahkan. Dalam menangani bencana kemarau ini, kita dibantu oleh 22 agensi dan jabatan kerajaan dan tiga agensi swasta serta beberapa NGO.

“Selain itu, kita juga mempunyai pejuang-pejuang yang mengagihkan air ke kampung-kampung kira-kira 200 orang pemandu lori serta kelindan. Keseemua mereka ini bekerja tujuh hari seminggu mengikut syif dalam tempoh 24 jam yang dikoordinasi melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni dan menyampaikan Bubur Lambuk sumbangan Petronas dan Syarikat Adabi sebagai juadah berbuka puasa kepada para petugas barisan hadapan di beberapa lokasi.

Antaranya, Pejabat Bomba dan Penyelamat Papar, Ibu Pejabat Polis Daerah Papar, PKOB Daerah Papar dan Kg Buang Sayang dekat sini, kelmarin.

Mohd Fuad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana mewakili PKOB Daerah Papar menerima sumbangan 360 pek Bubur Lambuk dalam Program Memasak Bubur Lambuk anjuran Rakan Niaga Petronas dengan kerjasama Petronas Dagangan Berhad, Kimanis Petroleum Center dan Adabi Consumer Industries Sdn, Bhd. di Kimanis.

Dalam pada itu,  Rakan Niaga Petronas Papar, Samlih Nip yang juga Ketua Taskforce Rakan Niaga Sabah berkata, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat minyak dan gas multinasional negara itu dilaksanakan di 83 stesen di seluruh Sabah sejak awal Ramadan.

“Program Bubur Lambur ini anjuran bersama rakan-rakan niaga Petronas sekitar Sabah dengan kerjasama daripada Syarikat Adabi, di samping Petronas Training Center Kimanis dan juga LPG serta Syarikat HAJA kita punya koordinator.

“Untuk agihan sebenarnya, kita masak di sini tujuh kawah lebih kurang 2,800 pek untuk diagihkan kepada masyarakat sekitar Kimanis sehingga ke Papar nanti.

“Antara penerimanya ialah SK Membakut, PKOB Daerah Papar, Bomba Kimanis, surau-surau dan masjid berhampiran serta pelanggan-pelanggan yang berkunjung ke stesen Petronas petang nanti di Kimanis dan Papar,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular