HomeUtamaKPDN Sabah rekod nilai rampasan lebih RM2.1 juta

KPDN Sabah rekod nilai rampasan lebih RM2.1 juta

Read Time:1 Minute, 29 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah berjaya merekodkan sebanyak 282 kes dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM2.1 juta.

Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata, jumlah itu adalah hasil pemeriksaan ke atas premis bermula 1 Januari lalu sehingga hari ini.

“Hasil daripada pemeriksaan ke atas 15,937 premis sejak 1 Januari lalu sehingga hari ini, KPDN Sabah telah menghasilkan 282 kes dengan nilai kompaun RM 31,900 dengan anggaran nilai sitaan berjumlah RM 2,191,101.07.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Georgie berkata, KPDN Sabah yang diketuai Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPPN), Zulfamy Mat Udi hari ini telah melaksanakan walkabout sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2024.

Katanya, SHMMP itu telah berkuat kuasa pada hari ini sehingga 19 April 2024 bagi peringkat negeri Sabah.

“Tempoh pelaksanaan adalah selama 15 hari iaitu selama lima hari sebelum hari perayaan, dua hari pada hari perayaan dan lapan hari selepas hari perayaan.

“Sebanyak 19 jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2024,” katanya.

Menurutnya, SHMMP Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pemborong dan peruncit.

“Skim ini dikuatkuasakan sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan sepanjang musim perayaan Hari Raya Puasa serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.

“Pelaksanaan skim ini juga sebahagian dari usaha prihatin kerajaan untuk menstabilkan harga ketika permintaan dijangka meningkat bagi membolehkan rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan budaya menikmati skim ini dalam keadaan ceria dan harmoni,” katanya.-  SABAH MEDIA / FOTO KPDN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

Jangan terikut-ikut provokasi pihak pertikai perlantikan Tun Musa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular