Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot tunda serta sebuah lori tangki yang didapati sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Tanjung Batu, Tawau awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Tawau,Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya telah menerima makluman dari unit risikan Zon Maritim Tawau mengenai aktiviti pemindahan minyak di jeti Komsa Tg. Batu kira-kira pukul 2.10 pagi.
Katanya,sejurus menerima maklumat, pihaknya telah bertindak ke lokasi dan mendapati sebuah lori tangki berada di jeti terbabit sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak kira-kira 10,000 liter minyak diesel ke sebuah bot tunda
“Semasa serbuan bot peronda Maritim Malaysia, kesemua suspek di lokasi berjaya ditahan membabitkan seorang ketua kapal warga Myanmar bersama empat awak-awak yang masing-masing merupakan dua warga Indonesia, satu warga Myanmar dan satu warga tempatan.
“Manakala seorang lagi pemandu lori warga tempatan turut ditahan. Kesemua suspek lelaki berikut berumur dalam lingkungan 32 hingga 57 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shahrizan berkata, pemeriksaan dokumentasi selanjutnya mendapati tiada sebarang dokumen berkaitan aktiviti pemindahan minyak yang dilakukan.
Katanya, bot tunda dan lori tangki tersebut seterusnya ditahan bersama muatan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kes tersebut diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat dibawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 kerana menjalankan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran.
“Nilai rampasan termasuk bot tunda,lori tangki dan muatan dianggarkan kira-kira hampir RM250,000,” katanya.
Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan komuniti setempat mematuhi peruntukan undang-undang di zon maritim negara.
“Orang ramai boleh membuat aduan dan menyalurkan maklumat sebarang aktiviti jenayah di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750 116 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA