HomeUtamaKerajaan pantau rapat perkembangan konflik Iran-Israel – Anwar

Kerajaan pantau rapat perkembangan konflik Iran-Israel – Anwar

Read Time:1 Minute, 10 Second

CYBERJAYA — Kerajaan sedang memantau rapat perkembangan terkini yang berlaku di Asia Barat dan kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara.

“Kerajaan juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mengadakan mesyuarat khas petang tadi bagi membincangkan situasi terkini di rantau Asia Barat.

Mesyuarat khas itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta pegawai tertinggi kerajaan.

Jelasnya, serangan dilancarkan Iran adalah tindak balas yang berpunca dari serangan biadab Zionis Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini.

“Ini tentunya adalah pelanggaran yang nyata terhadap hukum dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Tegasnya, Malaysia berpendirian semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Asia Barat tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat.

“Semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau itu,” katanya.

Beliau berkata, sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita dari kemelut ini.

“Sekarang adalah ketikanya untuk semua pihak memainkan peranan dalam mendesak menamatkan ketegangan,” katanya

RELATED ARTICLES
Utama

Pasukan sukarelawan dicadang diwujudkan bantu mangsa banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular