HomeUtamaBekas wartawan penderma organ pertama di Sabah tahun ini

Bekas wartawan penderma organ pertama di Sabah tahun ini

Read Time:1 Minute, 21 Second

Kota Kinabalu : Seorang bekas wartawan akhbar tempatan di negeri ini menjadi penderma organ yang pertama di Sabah pada tahun ini selepas disahkan meninggal dunia akibat masalah perubatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Asits Sanna berkata, mendiang Kriscy Limjoon,43, telah mendermakan sepasang mata atau kornea kepada dua pesakit lain.

Katanya, hasrat itu disuarakan pihak keluarganya untuk menderma organ bagi membantu pesakit lain yang memerlukan.

“Hasil penilaian mendapati hanya mata (kornea) yang masih sesuai untuk didermakan dan pihak keluarga telah bersetuju meneruskan hasrat murni tersebut.

“Sepasang kornea yang didermakan juga telah berjaya ditransplan dan membantu memulihkan penglihatan dua orang pesakit yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Prosedur pendermaan organ dan transplan kepada pesakit yang menerima organ mendiang dilakukan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, baru-baru ini.

Mendiang Kriscy, berasal dari Kampung Domis Hungab, Penampang yang juga ibu kepada dua orang anak pernah bertugas sebagai wartawan akhbar tempatan dan menjadi guru bahasa Inggeris sebuah sekolah swasta di Sabah.

Dr Asits berkata, pihak keluarga menyifatkan mendiang sebagai seorang yang berhati murni, periang tetapi tegas dalam menjalankan tugas, selain suka membantu orang dan sentiasa memberi sokongan kepada peniaga tempatan.

Katanya, walaupun tidak berkesempatan mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, mendiang pernah berbincang dengan keluarganya mengenai hasrat untuk menderma organ.

“Pihak jabatan mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga di atas pendermaan ini. Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini.

“Jabatan juga ingin menggalakkan orang ramai supaya berbincang dengan keluarga tersayang mengenai topik pendermaan organ supaya mudah untuk mereka memberikan keputusan pendermaan setelah pemergian kita,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bersatu dalam meraikan kepelbagaian dan kepercayaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular