HomeIsu tempatanNDRC UMS lancar makmal hidup pengurusan bencana

NDRC UMS lancar makmal hidup pengurusan bencana

Read Time:2 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu : Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan Makmal Hidup Bencana Alam Melangkap (MaHBAM) di Kota Belud Sabah bersempena Bengkel Penubuhan Task Force Bencana Alam Melangkap (TFBAM), baru-baru ini.

Lima objektif penubuhan MahBAM ialah membina komuniti yang berdaya tahan terhadap bencana menerusi pengukuhan kapasiti CBDRM;  Memperkasa daya tahan dan kesiapsiagaan komuniti melalui pendidikan dan latihan bencana;  Menjalankan kajian dan pemantauan bencana alam di Melangkap; Implementasi sains dan teknologi dalam pengurangan risiko bencana dan terakhir; Menjalinkan kerjasama erat dengan komuniti dan pemegang taruh dalam dalam pengurusan bencana.

Ketika merasmikan Makmal Hidup Bencana Alam Melangkap (MaHBAM), Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS, Profesor Dr. Jualang Azlan Gansau berkata penubuhan makmal tersebut dapat membantu para ahli penyelidik NDRC unutk menjalankan pemindahan ilmu berkaitan pengurusan bencana kepada komuniti.

Selain itu katanya ia bagi menyalurkan kepakaran sedia ada NDRC untuk menjalankan penyelidikan di kawasan berkenaan.

“Ini diharap dapat membantu komuniti mengadaptasikan bencana ini dengan mencari bentuk penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku sebarang bencana.

“UMS secara khususnya FSSA sentiasa berkerjasama dengan masyarakat dan aktiviti pemindahan ilmu dan kepakaran seumpama ini merupakan agenda yang telah disarankan oleh pihak universiti,” katanya.

Pelancaran tersebut turut disaksikan oleh Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Winnie Anggon  dan Pengarah NDRC UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus. 

Sementara itu Carolyn berkata penubuhan makmal hidup tersebut merupakan hasil cadangan dan permintaan daripada komuniti Kampung Melangkap Baru yang dizahirkan oleh Ketua Kampung, Somboton Gunsalahon.

“Pihak komuniti berharap NDRC UMS bersama agensi-agensi berkaitan dapat membantu komuniti di Melangkap dalam pengurusan bencana di kawasan ini.

“MaHBAM ini merupakan makmal hidup yang pertama di UMS dan kedua di Sabah selepas Resilience Living Lab Kundasang, yang dilancarkan oleh Disaster Preparedness and Prevention Centre, Universiti Teknologi Malaysia pada tahun lalu; yang mengkhusus kepada pengurusan risiko bencana yang dipacu oleh komuniti itu sendiri.

“Di samping itu juga, NDRC UMS turut menubuhkan Task Force Bencana Alam Melangkap sebagai salah satu aktiviti di dalam MaHBAM.

Caloryn menambah, penubuhan task force tersebut merupakan cadangan oleh komuniti bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Belud dan Agensi Pertahanan Awam (APM) Kota Belud dan merupakan yang pertama seumpamanya di Sabah.

Carolyn menambah, komuniti memainkan peranan penting dalam pengurusan bencana kerana mereka lebih arif dengan keadaan persekitaran dan paling hampir dengan kawasan bencana.

“Justeru kesiapsiagaan, persiapan dan tindakan awal oleh komuniti akan mempercepatkan proses menyelamat dan mengurangkan risiko bencana sementara menunggu bantuan dari agensi-agensi lain. Ini dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti kematian dan kerosakan harta benda.

“Adalah menjadi harapan NDRC dengan pelancaran makmal hidup dan penubuhan task force bencana di Melangkap ini akan memberikan lebih banyak faedah serta kebaikan berterusan kepada komuniti Melangkap Kota Belud dalam pengurusan bencana di kawasan mereka,” katanya.

Turut hadir, felo-felo Penyelidik Utama NDRC yang juga merupakan Ahli Penyelidik Makmal Hidup Bencana Alam Melangkap, Profesor Dr. Felix Tongkul, Profesor Madya Ts. Dr. Chee Fuei Pien, Ir. Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith serta Ketua Pejabat Wilayah Sabah, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah, Amir Shah Noor Ahmad. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular