HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan individu dipercayai ejen seludup PATI

Maritim Malaysia tahan individu dipercayai ejen seludup PATI

Read Time:1 Minute, 56 Second

Tawau :  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua buah bot tempatan dalam dua tangkapan berasingan di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya berjaya mengesan sebuah bot kayu mencurigakan bergerak dari Perairan Sungai Serudung menuju ke Sungai Kalabakan pada jam 1.40 petang.

“Pemeriksaan awal ke atas bot kayu yang ditahan di kedudukan 6.7 batu nautika barat daya Muara Tanjung Doris mendapati seorang lelaki bertindak selaku juragan bot telah gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan tidak memiliki lesen pendaftaran bot.

“Pemeriksaan selanjutnya ke atas telefon bimbit suspek telah mengesyaki suspek merupakan ejen penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kawasan pedalaman berdasarkan pada maklumat perbualan yang terkandung dalam peti pesanan telefon bimbit suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu di lokasi berasingan, sebuah lagi bot penumpang tempatan turut ditahan bot peronda Maritim Malaysia dalam operasi yang sama.

Sharizan berkata, pihaknya berjaya menemukan 200 kilogram beras putih, empat gelen bahan api jenis petrol anggaran 100 liter dan dua unit tong gas LPG berisi yang dimuat oleh seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 28 tahun.

Katanya, bot dan juragan itu ditahan di kedudukan 0.6 batu nautika tenggara Jeti CIQ Tawau lebih kurang jam 3.45 petang hari yang sama.

“Pemeriksaan dokumentasi ke atas bot terbabit mendapati juragan gagal mengemukakan sebarang permit serta lesen yang sah berkaitan muatan dan barang kawalan yang dibawa serta melanggar Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

“Kedua-dua juragan, bot serta muatan tersebut ditahan lalu dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah,Akta Kawalan Bekalan 1961,Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua barangan termasuk kedua-dua bot, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah melebihi RM34,000,” katanya.

Beliau turut menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan terus memperkasakan penguatkuasaan berkaitan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa serta modus operandi yang berbeza khususnya yang melibatkan aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Orang ramai turut diminta membantu pihak Maritim Malaysia dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular