HomeUtamaBidaan bangunkan loji janakuasa solar berskala besar dibuka - ECoS

Bidaan bangunkan loji janakuasa solar berskala besar dibuka – ECoS

Read Time:1 Minute, 46 Second

Kota Kinabalu : Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) membuka tawaran untuk membangunkan Projek Loji Janakuasa Solar Fotovoltaik (PV) Berskala Besar pertama di Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan penghasilan tenaga melalui Tenaga Boleh Baharu bagi memastikan bekalan tenaga yang lestari.

“LSS-SABAH2024 merupakan satu usaha pembangunan loji tenaga solar PV berskala besar dengan jumlah kapasiti 100MWac yang akan ditawarkan melalui bidaan terbuka di bawah pengawasan ECoS.

“Bidaan dibuka merangkumi kapasiti 1MWac sehingga 15MWac, sama ada dengan reka bentuk yang dipasang di atas tanah, di atas permukaan air atau di atas bangunan (rooftops),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, program itu memberi peluang kepada syarikat-syarikat yang memiliki sumber tersedia untuk menyertai proses bidaan.

Katanya, loji-loji tenaga solar yang berjaya, disasar untuk mula beroperasi pada tahun 2026.

“ECoS menyeru syarikat-syarikat berpengalaman atau konsortium dengan rekod prestasi terbukti dalam melaksanakan projek penjanaan kuasa, termasuk pembiayaan projek dan operasi loji janakuasa, untuk mengemukakan bidaan,” katanya. 

Beliau juga menyatakan bahawa keutamaan akan diberikan kepada syarikat-syarikat milik Sabah yang layak atau konsortium yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) atau Pusat Pendaftaran Kontraktor Sabah untuk Kerja (PUKONSA), dengan syarat syarikat atau rakan kongsi mereka memenuhi kriteria yang berkaitan.

Selain itu katanya, untuk memastikan aspek keselamatan dan kualiti, syarikat-syarikat juga dikehendaki melantik Kontraktor Elektrik dengan Kelas PV (Bersambung-Grid) yang berdaftar dengan ECoS.

“LSS-SABAH2024 menandakan langkah besar ke hadapan untuk kerajaan negeri Sabah dalam komitmen untuk memanfaatkan sumber tenaga yang bersih dan boleh baharu, seperti yang dinyatakan dalam ‘Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040’ (SE-RAMP 2040) yang dilancarkan pada bulan September lalu.

“Inisiatif ini bersama dengan banyak inisiatif lain yang sedang dalam perancangan, menjanjikan sumbangan kepada masa depan tenaga yang lebih lestari untuk negeri dan memastikan bahawa rakyat Sabah akan terus memiliki bekalan kuasa yang boleh harap serta terjamin untuk generasi akan datang,” katanya.

Dokumen bidaan boleh dilihat di Ibu Pejabat ECoS semasa waktu pejabat. Maklumat umum tentang bidaan juga boleh diperolehi di www.ecos.gov.my/LSS-SABAH2024 atau emel [email protected].

RELATED ARTICLES
Utama

NGO selar individu tidak serah maklumat kepada SPRM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular