HomeUtamaJualan Agro Madani catat nilai jualan RM56.55 juta sehingga 12 Mei

Jualan Agro Madani catat nilai jualan RM56.55 juta sehingga 12 Mei

Read Time:1 Minute, 55 Second

Tawau : Jualan Agro Madani yang dilaksanakan di seluruh negara pada tahun ini berjaya mencatat nilai jualan sebanyak RM56.55 juta yang direkodkan sehingga 12 Mei lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, program yang dilaksanakan di 2,745 lokasi itu turut melibatkan kira-kira 31,442 usahawan tempatan.

Katanya, jualan itu turut membawa nilai penjimatan kira-kira RM16.8 juta kepada pelanggan.

“Inisiatif program ini telah melaksanakan aktiviti jualan pelbagai barangan keperluan agro- makanan seperti produk segar sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, ayam, daging dan telur pada harga 10 ke 30peratus di mana harga yang lebih murah dan berbaloi berbanding harga pasaran tempatan.

“Selain itu, penganjuran program ini telah memberi faedah kepada para usahawan yang terdiri daripada peserta Program Ladang Kontrak, Usahawan Bimbingan Kerajaan, Pengilang atau Pemproses Produk Agromakanan.

“Para penjual akan menikmati peningkatan pendapatan menerusi konsep jualan terus kepada pengguna tanpa melibatkan orang tengah (pengumpul/pemborong),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Jualan Agro Madani Mega Tawau di sini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli.

Jualan Agro Madani merupakan penjenamaan semula kepada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui tiga agensi pelaksana.

Antaranya FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Arthur berkata, kerajaan komited dalam merangka strategi khusus bagi memastikan nasib golongan yang memerlukan sentiasa terpelihara dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang tinggi.

Katanya, usaha, galakan dan sokongan berterusan akan dilaksanakan dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah terutamanya kumpulan B40 dan M40.

“Melalui penganjuran program Jualan Agro Madani ini, ia dapat menyumbang kepada peningkatkan kebolehdapatan dan ketersediaan bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan produk-produk segar pada kadar harga yang berpatutan,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur berkata, Jualan Agro Madani akan diperluaskan pelaksanaannya dengan sasaran sebanyak 5,000 sesi jualan berakhir Oktober tahun ini.

“Pencapaian Jualan Agro Madani pada tahun lalu telah mencatatkan nilai jualan RM93.74 juta setelah diadakan di 5,608 lokasi seluruh negara dengan melibatkan 74,841 usahawan.

“Program ini juga telah berjaya mencatatkan nilai penjimatan sebanyak RM27.8 juta kepada 11.6 juta isi rumah. Ini jelas menunjukkan Jualan Agro Madani telah mendapat sambutan yang sangat baik di kalangan rakyat Malaysia terutama bagi golongan B40 dan M40,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular