Kota Kinabalu : Seramai 484 atau 1.38 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang bagi gred A+,A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, jumlah itu meningkat seramai 140 calon berbanding 344 calon atau 0.95 peratus pada tahun 2022.
Katanya, bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 5,046 calon atau 14.37 peratus pada tahun ini berbanding 4,583 calon atau 12.73 peratus tahun 2022.
“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 463 calon atau 1.64 peratus. Manakala seramai 12,710 calon atau 36.18 peratus telah memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun ini berbanding 12,026 calon pada tahun 2022.
“Angka itu juga menunjukkan peningkatan sebanyak 684 calon atau 2.20 peratus berbanding tahun 2022,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah JPNS Nurani Fauziah Derin.
Dalam pada itu, Raisin berkata, pencapaian secara keseluruhan calon SPM tahun ini di Sabah adalah lebih baik berdasarkan indeks Gred Purata Negeri (GPN) berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, nilai GPN 5.09 mata pada tahun lalu berbanding 5.22 mata pada tahun 2022 iaitu perbezaan sebanyak 0.13 mata.
“Berdasarkan GPN, pencapaian calon bandar menurun sebanyak 0.10 mata iaitu 5.28 mata pada tahun lalu berbanding 5.38 mata pada tahun 2022.
“Angka yang semakin mengecil menunjukkan keputusan calon bandar semakin baik. Pencapaian calon luar bandar juga menurun sebanyak 0.20 mata iaitu 4.75 mata pada tahun lalu berbanding 4.95 mata pada tahun 2022.
“Ini menunjukkan bahawa keputusan calon luar bandar juga semakin baik,” katanya.- SABAH MEDIA