Kota Kinabalu: Jumlah ketidakhadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tinggi di negeri ini pada tahun lalu dikenal pasti berpunca apabila pelajar itu sudah berkahwin.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Nurani Fauziah Derin berkata, seramai 984 calon SPM dari negeri ini pada tahun lalu tidak hadir menduduki peperiksaan berkenaan.
Selain itu, faktor pelajar itu sudah bekerja selain ada yang sudah meninggal dunia turut dikenal pasti sebagai punca ketidakhadiran pelajar untuk menduduki SPM 2023.
“Kita menyedari perkara itu sejak hari pertama SPM 2023 dan memberi perhatian apabila ramai calon didapati tidak hadir menduduki kertas peperiksaan.
“Selain itu, kita dapati ramai yang tidak hadir tapi punca ketidakhadiran itu ada pelbagai faktor, ada yang sudah bekerja, berkahwin dan kembali kepadaNya (meninggal dunia). Itu antara faktor yang kita lihat tapi ada juga yang memang mungkin kurang berminat (menduduki SPM),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media keputusan SPM 2023 bagi negeri Sabah, di Wisma Pendidikan di sini hari ini.
Nurani berkata demikian ketika diminta mengulas punca 984 calon SPM 2023 di Sabah tidak menghadiri peperiksaan itu.
Katanya, jumlah itu menurun berbanding seramai 1,564 calon SPM 2022 dari Sabah yang didapati tidak hadir menduduki peperiksaan itu.
“InsyaAllah, kita akan lihat bagaimana kita boleh membantu anak-anak kita ini. Ada yang memang mungkin kurang minat ke sekolah, tapi insyaAllah kita akan lihat apa yang boleh dibantu,” katanya.
Beliau turut mengakui jumlah keciciran menduduki SPM yang besar itu agak membimbangkan kerana kesannya bakal dihadapi pelajar terbabit pada kemudian hari.
“Jumlah itu agak membimbangkan kerana impak mereka ini akan kita lihat kemudian di luar sana nanti di bidang pekerjaan dan juga dalam kehidupan secara menyeluruh.
“Ini kerana SPM ini membuka ruang kepada banyak peluang di luar sana, dengan ada SPM mereka boleh melakukan pelbagai benda untuk meneruskan kelangsungan hidup. Jadi, sekiranya anak-anak kita ini tiada SPM, ia akan menjejaskan sedikit kelangsungan hidup mereka kemudian nanti,” katanya. – SABAH MEDIA