HomeUtamaDua pelajar Sabah menang Anugerah Komuniti Peringkat Global

Dua pelajar Sabah menang Anugerah Komuniti Peringkat Global

Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Dua pelajar Kolej Vokasional Keningau, Caleb Evander Danius dan Siti Nur Hanisah Omar Hashim dipilih sebagai pemenang anugerah YouthMADE Festival Community.

Caleb dan Hanisah antara 11 pelajar yang dipilih daripada 49 pencalonan dari seluruh dunia termasuk daripada negara Malaysia, Brazil, Nigeria, Amerika Syarikat, India, Kenya, Arab Saudi dan Indonesia.

Pemilihan penerima anugerah tersebut yang diberikan oleh Digital Promise, sebuah organisasi pendidikan berpangkalan di Amerika Syarikat, adalah berdasarkan inisiatif komuniti setiap calon yang dinilai.

Pengarah KV Keningau, Nordin Akup berkata, beliau bangga dengan pencapaian kedua-dua pelajarnya dan berharap ianya akan dapat meningkatkan motivasi para pelajar kolej itu.

“Saya ucapkan tahniah kepada dua orang pelajar ini yang merupakan antara pelajar terbaik kolej tersebut dan berharap agar pencapaian ini dapat meningkatkan motivasi para pelajar yang lain agar terus memberikan yang terbaik dalam apa juga bidang yang mereka ceburi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanisah telah menerima anugerah Most Promising Young Social Entrepreneur manakala Caleb diiktiraf sebagai Most Outstanding Community Project Leader.

Senarai nama kesemua 11 pemenang tersebut beserta penerangan sumbangan mereka telah diumumkan secara rasmi di laman sesawang penganjur pada 29 Mei 2024.

Hanisah adalah pelajar tahun keempat Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang telah berjaya mengasas projek sosial berimpak iaitu Mearpet yang mengitar semula pakaian dan anak patung terpakai menjadi boneka yang digunakan untuk mendidik dan menghibur kanak-kanak.

Projek ini telah berjaya mendapat beberapa anugerah termasuklah naib johan pertandingan Pitchbah dengan memenangi RM 3000 pada tahun 2023 dan diiktiraf menjadi 10 projek terbaik pertandingan Youth Sustainable Projects (YSUP) peringkat Asia Tenggara pada tahun yang sama.

Dia diberikan anugerah tersebut atas usahanya memperkembangkan projek sosial itu sebagai satu perniagaan yang berimpak kepada komuniti.

Manakala Caleb adalah pelajar tahun akhir Teknologi Pembinaan dan dia menerima pengiktirafan anugerah dalam bidang kepimpinan projek komuniti kerana penglibatannya dalam kerja-kerja membaik pulih dan menyelenggara bangunan sekolah di sekitar Keningau.

Dia juga telah menulis artikel berkenaan dengan peranan kesukarelawanan belia dalam masyarakat yang telah diterbitkan di majalah ternama keluaran Sabah iaitu the Breeze pada April 2024.

Hanisah dan Caleb berkata, mereka menjadikan pencapaian ini sebagai pendorong bagi mereka untuk terus memajukan inisiatif masing-masing kerana mereka yakin ianya dapat membantu meningkatkan prospek masa hadapan sambil membantu komuniti di luar sana.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular