HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan bot tunda gagal perbaharui lesen

Maritim Malaysia tahan bot tunda gagal perbaharui lesen

Read Time:1 Minute, 27 Second

Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot tunda kerana gagal memperbaharui lesen bot yang telah tamat tempoh pada jam 10.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya telah berjaya mengesan bot tunda tersebut bergerak dari Perairan Tanjung Batu menuju ke Pelabuhan Tawau.

“Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.18 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau itu mendapati seorang juragan lelaki warga tempatan bersama dua kru bot tunda masing-masing seorang warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia lingkungan 52 hingga 55 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Walau bagaimanapun, pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati lesen bot tunda tersebut telah tamat tempoh sejak Februari lalu.

“Juragan juga memberikan alasan yang kurang munasabah dengan menyatakan beliau gagal memperbaharui lesen bot akibat sebab tertentu dan masih memilih untuk menjalankan operasi seperti kebiasaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata, bot tunda serta kesemua kru bot tersebut seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952 (MSO), kerana beroperasi ketika lesen tamat tempoh. Nilai rampasan termasuk bot tunda tersebut dianggarkan sekitar RM2 juta.

Tambahnya, pihaknya akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara optimum sebagai medium kesedaran dan pendidikan kepada komuniti maritim agar lebih peka dengan kesalahan yang dilakukan dan tidak berulang lagi.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian MERS 999,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penubuhan CEDP komitmen UMS pacu penyelidikan bagi bantu pembangunan dasar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular