HomeUtamaPesta Kaamatan platform usahawan perluas aktiviti perniagaan

Pesta Kaamatan platform usahawan perluas aktiviti perniagaan

Read Time:1 Minute, 39 Second

Penampang : Sambutan Pesta Kaamatan merupakan satu platform bagi mewujudkan peluang-peluang perniagaan serta memperluaskan aktiviti perdagangan dalam kalangan rakyat tempatan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, usahawan tempatan juga berpeluang untuk mempromosi dan memasarkan produk dihasilkan secara langsung di gerai-gerai yang disediakan sepanjang bulan kaamatan.

“Tidak dinafikan, produk-produk seni kreatif yang dihasilkan oleh usahawan-usahawan tempatan semakin mendapat pasaran meluas termasuk pasaran antarabangsa.

“Aktiviti promosi dan penjualan produk-produk tradisi mudah dibuat menggunakan media sosial pada masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Hadir sama isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Norlidah RM Jasni.

Jeffrey berkata, Pesta Kaamatan pada tahun ini turut meneruskan program ‘Seeds Spirit Revival’ (SSR) yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan alam sekitar terutama tumbuh-tumbuhan herba yang mempunyai nilai dari segi sains perubatan dan komersial.

Selain itu katanya, turut diadakan ‘International Day for Cultural Diversity Dialouge’ yang berlangsung pada 21 Mei lalu yang bertujuan untuk mempromosikan warisan budaya dan konservasi alam sekitar di negeri ini dan juga pada skala global.

“Justeru itu, saya ingin menyeru kepada semua lapisan masyarakat untuk berganding bahu dalam mempertahankan khazanah yang dikurniakan oleh Tuhan iaitu memelihara dan memulihara alam sekitar dalam menangani isu perubahan iklim dan kekurangan bekalan makanan tatkala menikmati arus pemodenan,” katanya.

Dalam pada itu, Jeffrey berkata, sambutan Pesta Kaamatan ini juga berupaya untuk membantu memulihara dan mempromosikan budaya serta keunikan masyarakat negeri Sabah.

Katanya, ia adalah agar lebih ramai penduduk serta pelancong dari luar negeri berkunjung ke Sabah sekaligus menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur di Sabah.

“Rumah-rumah tradisi di perkarangan KDCA umpamanya mempamerkan tarian, alat muzik, pakaian tradisi dan menghidangkan makanan tradisi untuk pera pengunjung yang datang ke KDCA semasa Pesta Kaamatan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular