HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan 'Runner' minyak

Maritim Malaysia tahan ‘Runner’ minyak

Read Time:1 Minute, 51 Second

Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menahan dua buah bot penumpang tempatan kerana membawa muatan tanpa permit dalam dua tangkapan berasingan semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya berjaya mengesan dan memintas sebuah bot penumpang yang bergerak dari Jeti CIQ,Tawau menuju ke Pulau Sebatik pada jam 10.10 malam semalam.

“Pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan 1.1 batu nautika timur laut Tanjung Saima itu mendapati seorang lelaki warga tempatan berumur 47 tahun bertindak selaku juragan bot.

“Pemeriksaan selanjutnya mendapati bot tersebut membawa muatan empat gelen minyak petrol dengan anggaran 140 liter dan 2 tong gas LPG berisi tanpa sebarang permit yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata, selepas sejam penahanan bot tersebut, sebuah lagi bot penumpang tempatan turut ditahan dan diperiksa oleh kapal peronda Maritim Malaysia yang sama di lokasi 1.24 batu nautika timur laut Tanjung Saima.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot penumpang tersebut mendapati seorang juragan lelaki warga tempatan berumur 23 tahun juga membawa muatan lima gelen minyak petrol anggaran 175 liter tanpa sebarang permit dan melanggar syarat sah lesen bot penumpang.

Kedua-dua bot bersama muatan dan kedua juragan tersebut seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

Katanya, kesemua barangan termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM52,000.

Menurutnya lagi,pihaknya tidak menolak wujudnya ‘runner minyak’ yang menjalankan aktiviti membawa barang kawalan ini dalam kuantiti kecil namun secara berulang bagi menembusi pasaran di negara jiran.

“Itu antara cabaran penguatkuasaan di kawasan persempadanan, namun pihaknya akan terus mengekang sindiket penyeludupan ini bagi mengelakkan ketirisan barang kawalan.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.

Katanya, salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 dan talian MERS 999. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 100 pengunjung meriahkan Christmas @ KK Sentral Riverside Market

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular