HomePendapatPembangunan modal insan di Sabah mencabar, kualiti sistem pendidikan masih ketinggalan

Pembangunan modal insan di Sabah mencabar, kualiti sistem pendidikan masih ketinggalan

Read Time:7 Minute, 2 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1.        Beberapa hari lepas, Ketua Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah/ Energy Commission of Sabah (ECoS) di laporkan berkata bahawa ECoS membuka tawaran untuk membangunkan Projek Loji Janakuasa Solar Fotovoltaik (PV) Berskala Besar pertama di Sabah, iaitu LSS-SABAH 2024.

2.        Menurut beliau, LSS-SABAH 2024 merupakan inisiatif Kerajaan Sabah untuk meningkatkan penghasilan tenaga lestari, serta memanfaatkan sumber tenaga bersih dan tenaga boleh baharu/ renewable energy. Ini selari dengan pelan induk tenaga Sabah, Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040), yang telah di lancarkan pada bulan September 2023.

3.        Beliau turut menegaskan bahawa keutamaan akan di berikan kepada syarikat milik Sabah atau konsortium yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) atau Pusat Pendaftaran Kontraktor Sabah (PUKONSA). Syarikat pembida mestilah memenuhi kriteria berkaitan, serta memiliki pengalaman dan rekod prestasi yang terbukti.

4.        Di samping itu, syarikat pembida mesti melantik Kontraktor Elektrik dengan Kelas PV (Bersambung-Grid) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga Sabah, agar kerja-kerja dapat di laksanakan dengan selamat dan berkualiti.

5.        Fakta menarik: Suruhanjaya Tenaga Sabah/ Energy Commission of Sabah (ECOS) di tubuhkan pada 10 Januari 2023. ECoS merupakan sebuah badan berkanun di bawah Kerajaan Sabah, bertanggungjawab untuk mengawal-selia sektor tenaga di Sabah. Penubuhan ECoS adalah susulan kepada persetujuan oleh Kerajaan Malaysia untuk memindahkan kuasa kawal-selia bekalan elektrik dan gas di Sabah kepada Kerajaan Sabah.

6.        Pada awal Mei 2024, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) telah mengumumkan pendaftaran kumpulan pertama sepuluh (10) Kontraktor Elektrik dengan Kelas PV (Bersambung-Grid)/ ECCPV (GC). Pendaftaran ini membolehkan ECoS mengawal-selia pemasangan Sistem Fotovoltaik (PV) secara berkesan, serta memastikan kerja-kerja di laksanakan oleh pihak berkelayakan secara selamat.

7.        Namun begitu, Presiden Sabah Progressive Party (SAPP) telah menimbulkan pertanyaan bagaimana kontraktor Sabah akan di beri keutamaan untuk projek LSS-SABAH 2024 berkenaan, sedangkan 7 daripada 10 Kontraktor Elektrik dengan Kelas PV (Bersambung-Grid) yang di luluskan pendaftaran oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) adalah kontraktor bukan Sabah.

Sumber: The Star – 7 May 2024

8.        Sejurus itu, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) telah membuat kenyataan bahawa pendaftaran kontraktor elektrik tersebut terpaksa di buka kepada kontraktor bukan Sabah berikutan kekurangan kontraktor tempatan yang layak dan memiliki kepakaran yang di perlukan. Keputusan itu di buat untuk memastikan program tenaga solar di Sabah dapat di laksanakan dengan cepat, agar dapat menangani isu bekalan elektrik di Sabah ketika ini.

9.        Tambahan lagi, ECoS menyatakan bahawa pembangunan kepakaran tempatan di dalam sektor tenaga di Sabah adalah keutamaan ECoS, di mana program latihan solar di sediakan oleh penyedia latihan bertauliah dari ECoS. Ini akan dapat meningkatkan bilangan kontraktor elektrik tempatan dengan Kelas PV (Bersambung-Grid), dan seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah yang kompeten.

10.      Perkara ini sebenarnya telah menyerlahkan kepentingan pemerkasaan modal insan untuk mendokong agenda pembangunan sosio-ekonomi Sabah. Secara am-nya, Sabah mesti menghasilkan modal insan tempatan yang memiliki pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang selaras dengan keperluan industri, pada kadar yang sekurang-kurangnya sama pantas dengan pertumbuhan industri berkaitan.

11.      Ini akan membolehkan agenda pembangunan Sabah di laksanakan dengan baik dan lancar seperti yang di rancang. Amatlah malang, sekiranya peluang pekerjaan yang terhasil daripada pelaburan di Sabah terpaksa di isi oleh bukan orang tempatan. Sewajarnya, kemajuan dan kekayaan Sabah di nikmati oleh rakyat Sabah.

12.      Sehingga kini, agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) telah berjaya meletakkan Sabah di landasan pembangunan sosio-ekonomi yang semakin rancak. Selain itu, agenda SMJ turut bermatlamat untuk menangani pelbagai isu-isu legasi yang telah di warisi sejak turun temurun, seperti bekalan elektrik dan air, infrastruktur serta kemudahan sekolah dan hospital, dan hubungan jalan-raya.

Sumber: Laman sesawang Sabah Maju Jaya: https://smj.sabah.gov.my/

13.      Dalam tempoh masa 3 tahun, agenda SMJ telah berjaya menarik minat pelabur asing dan domestik untuk melabur di dalam sektor ekonomi utama Sabah, iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan. Antaranya: keluli hijau, simen, pengurusan sisa, hab logistik, pusat peranginan, pemprosesan makanan laut dan aeroangkasa.

14.      Malah, pada akhir tahun lepas, Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah di laporkan berkata bahawa, di antara tahun 2024 – 2035, kira-kira 20,000 peluang pekerjaan bakal di wujudkan menerusi pelaburan asing dan domestik di Sabah.

15.      Di samping itu, Kerajaan Sabah telah mengambil keputusan untuk meningkatkan pengawasan dan kepentingan di dalam sektor ekonomi Sabah. Ini termasuklah:

  • menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS)
  • menubuhkan Lembaga Padi Sabah
  • mengambil alih aset dari syarikat PETRONAS di Sabah
  • menambah pegangan ekuiti di dalam syarikat PETRONAS di Sabah

16.      Justeru itu, perkembangan semasa jelas menunjukkan Sabah memerlukan ramai modal insan tempatan yang memiliki pelbagai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran untuk mengisi peluang-peluang pekerjaan yang tersedia.

17.      Maka, untuk mendokong agenda SMJ, Kerajaan Sabah telah memperuntukkan dana kewangan melebihi RM 150 juta di bawah Belanjawan Sabah 2024 untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran rakyat Sabah:

  • RM 101 juta: biasiswa dan dermasiswa kepada 1,500 pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi
  • RM 27.45 juta: program latihan dan kursus kemahiran di bawah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia
  • RM 33 juta: kursus dan latihan kemahiran sains, teknologi dan inovasi

18.      Namun begitu, agenda pembangunan modal insan di Sabah adalah mencabar memandangkan kualiti sistem pendidikan Sabah yang masih ketinggalan agak jauh berbanding dengan negeri-negeri lain di seluruh negara. Ini meliputi prestasi pencapaian pelajar yang rendah, infrastruktur sekolah yang daif dan kemudahan sekolah yang tidak mencukupi.

19.      Sebagai contoh. Keputusan peperiksaan SPM 2023 yang baru di umumkan beberapa hari lepas telah meletakkan Sabah di kedudukan paling rendah di Malaysia. Seperti keputusan SPM 2022, Sabah juga berada di kedudukan paling rendah di Malaysia.

20.      Pada masa yang sama, Sabah turut merekodkan jumlah calon SPM berdaftar yang tidak hadir dan menduduki peperiksaan SPM tertinggi di Malaysia: tahun 2022 (5,686 calon: 14%), tahun 2023 (4,658 calon: 12%).

21.      Dengan pencapaian SPM yang lemah dan tiada Sijil SPM, sudah pasti ramai tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Seterusnya, mereka akan memasuki pasaran pekerjaan hanya berbekalkan pengetahuan dan kemahiran yang rendah, dan menghadkan jenis pekerjaan yang boleh mereka laksanakan.

22.      Selain itu, Sabah menghadapi kesukaran menarik minat pelajar untuk terlibat di dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Pada pertengahan tahun 2023, Ketua Menteri Sabah telah menyuarakan kebimbangan kadar penglibatan pelajar Sabah di dalam bidang STEM berada pada tahap 27% sahaja.

Beliau mahu kadar penglibatan STEM di tingkatkan kepada 40% menjelang 2025.

23.      Tetapi, agak mustahil Sabah dapat meningkatkan kadar penglibatan STEM kepada 40% menjelang 2025, sekiranya isu infrastruktur sekolah yang daif dan kelengkapan sekolah yang tidak mencukupi tidak di selesaikan. Menurut rekod Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, lebih 50% daripada sekolah di Sabah telah di kenal-pasti memerlukan penambah-baikan dan penyelenggaraan segera.

24.      Penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran STEM adalah kritikal di era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), yang berteraskan penggunaan teknologi secara meluas dan mendalam di dalam setiap aspek pekerjaan dan kehidupan. Kegagalan melahirkan modal insan STEM yang mencukupi sudah pasti akan merencatkan agenda pembangunan Sabah. Dengan itu, Sabah wajar meneliti apa yang berlaku di negeri-negeri lain di seluruh Malaysia, dan mengambil tindakan yang berkesan untuk menangani isu berkenaan.

25.      Sebagai contoh. Presiden Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA) di laporkan berkata bahawa majikan menghadapi cabaran untuk mendapat pekerja, terutamanya jurutera. Malah, pada Ogos 2022, Pengerusi Small and Medium Enterprises Association of Malaysia (SAMENTA) di laporkan berkata bahawa terdapat kekurangan 50,000 jurutera untuk pertumbuhan industri semikonduktor di Pulau Pinang.

26.      Usaha untuk menghasilkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi di Sabah sudah pasti akan mengambil masa. Agenda pembangunan modal insan yang menyeluruh mestilah merangkumi pelbagai komponen berkaitan, termasuklah: dana pembiayaan yang mencukupi, infrastruktur serta kemudahan peralatan yang lengkap dan terkini, serta tenaga pengajar berpengalaman dan berkualiti.    

27.      Sabah Teguh, Rakyat Terbela.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Agenda Membasmi Miskin Tegar Di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular