HomeUtamaPelajar Maahad Tahfiz antara bakal jemaah haji muda Sabah

Pelajar Maahad Tahfiz antara bakal jemaah haji muda Sabah

Read Time:2 Minute, 9 Second

Kota Kinabalu : Berkat kesedaran ibu bapa mendaftarkan anak di Tabung Haji (TH) pada usia seawal sebulan, seorang pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang berpeluang menjadi antara bakal jemaah haji muda daripada Sabah pada tahun ini.

Pelajar terbabit, Putri Farihah Irdina Yahya,14, menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang menjadi tetamu Allah untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu sekali gus menjadi antara individu termuda dalam kalangan 942 bakal jemaah haji Sabah.

Lebih mengujakan buat Farihah Irdina apabila dia terpilih ke Tanah Suci bersama ibu, abang dan kakaknya.

“Perasaan itu memang tidak sangka sebab muda lagikan, terharu, bersyukur pun ada sebab menjadi antara jemaah haji yang dipanggil pada tahun ini.

“Saya harap akan dapat memperoleh haji mabrur kerana golongan muda ini payah sikit buat haji awal.  Tapi insyaAllah saya akan dapat buat haji yang mabrur dan istiqamah lepas ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, malam tadi.

Farihah Irdina bersama ibunya, Dayangku Norlila Pg Salleh, 52; abang, Mohammad Faridzuan, 25 dan kakaknya Putri Farizan,18, adalah antara 134 bakal jemaah haji kumpulan pertama dari Sabah yang berlepas pada jam 11.05 malam tadi.

Mereka transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki pesawat sewa khas haji untuk ke Tanah Suci yang dijadual berlepas pada jam 1.40 pagi tadi.

Sementara itu, Putri Farizan berniat untuk sujud syukur setiba di Tanah Suci Mekah kerana mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baik dan dapat pula menunaikan ibadah haji bersama keluarga.

Dia yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan, memperolehi lapan A dan satu C dalam keputusan SPM 2023 yang diumumkan baru-baru ini.

Katanya, dia amat bersyukur dengan pencapaiannya itu dan bertambah bersyukur apabila pada masa yang sama menerima khabar gembira dapat menunaikan ibadah haji bersama ibu, abang dan adik perempuannya.

“Saya sangat bersyukur kerana mendapat keputusan SPM yang memuaskan dan dapat lagi panggilan haji untuk ke Tanah Suci bersama keluarga.

“Setiba di sana nanti, pertama sekali mesti buat sujud syukur sebab mendapat keputusan SPM yang memuaskan,” katanya.

Ibu mereka, Dayangku Norlila, berkata mereka semua mendaftar untuk menunaikan haji pada 2009, kecuali Putri Farihah Irdina pada 2010 dan sudah mengikuti kursus haji pada tahun lalu, namun belum mendapat panggilan.

“Alhamdulillah, tahun ini baru dapat panggilan dan lebih bersyukur kami empat beranak dapat menunaikan haji bersama. Hanya adik (Putri Farihah Irdina) buat rayuan kerana dia didaftar pada 2010.

“Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi dengan apa yang kita cita-citakan selama ini dan setiba di Tanah Suci nanti kami selesaikan dulu umrah, tawaf dan saie sementara menunggu ibadah haji bermula,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Memacu Sabah ke Persada Dunia: Acara Antarabangsa dan Inisiatif Pelancongan Baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular