HomeUtamaHati-hati sebar maklumat, info tidak sahih di media sosial - KPDN Sandakan

Hati-hati sebar maklumat, info tidak sahih di media sosial – KPDN Sandakan

Read Time:1 Minute, 37 Second

Sandakan : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati sebelum menyebarkan maklumat atau info tidak sahih di media sosial.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN cawangan Sandakan Azdy Zukkry John berkata, penyebaran maklumat tidak sahih khususnya melibatkan barang kawalan boleh menimbulkan kegusaran dan kekecohan orang ramai.

“KPDN juga berharap agar semua peniaga termasuk perniagaan atas talian supaya mengikuti semua garis panduan dan syarat termasuk menjual barang kawalan yang bersubsidi pada harga yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

Ketua Cawangan KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John

“Adalah diingatkan juga bahawa harga yang telah ditetapkan bagi barangan dikawal itu adalah tidak termasuk caj penghantaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu berkaitan harga minyak masak paket dua kilogram yang dijual mahal daripada harga kawalan di salah sebuah pasar raya di Sandakan yang dimuat naik pengguna media sosial baru-baru ini.

Azdy berkata, bertindak atas aduan itu, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke pasar raya berkenaan dan mendapati minyak paket berkenaan dijual pada harga RM12.30.

Bagaimanapun katanya, pasar raya berkenaan telah meletakkan notis bahawa minyak paket dua kilogram itu adalah bukan minyak masak bersubsidi.

“Pemeriksaan selanjutnya mendapati pasar raya diadukan menerima bekalan minyak masak paket dua kilogram itu daripada sebuah kilang masak yang berlesen di daerah Lahad Datu.

“Pihak pasar raya memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan menjual lagi minyak masak dalam bungkusan paket atau polibeg dua kilogram bagi mengelakkan kekeliruan pengguna terhadap minyak masak bersubsidi yang hanya dijual dalam bungkusan atau paket satu kilogram,” katanya.

Sementara itu, Azdy berkata, pengguna adalah disarankan agar menyalurkan terus aduan yang tepat dan terperinci kepada KPDN melalui pelbagai platform rasmi yang disediakan.

Katanya, ia adalah agar pihaknya dapat melaksanakan tindakan pantas bagi mengekang aktiviti menyalahi undang-undang yang dikawalselia oleh KPDN.

“Selain daripada itu, pengguna juga boleh mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan KPDN dengan melayari laman web rasmi KPDN di www.kpdn.gov.my,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN SANDAKAN

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Sebuah mini stadium bakal dibina di SMAN Toh Puah Hajah Rahmah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular