Jakarta : Sabah FC berharap agar dapat berpeluang beraksi pada Kejohanan Antarabangsa RCTI Jakarta Indonersia RCTI Premium Sports pada edisi akan datang.
Pengurus Sabah FC, Rafie Robert berkata kejohanan ini merupakan pengiktirafan besar kepada Sabah FC sekali gus mampu menguji serta meningkatkan mutu perkembangan bola sepak di rantau ini.
Katanya melalui edisi ini secara tidak langsung Sabah FC kini semakin dikenali di rantau Asia Tenggara sekali gus menjadikan kejohanan ini menjadi tumpuan di rantau ini.
“Sabah FC mengiktiraf jemputan oleh RCTI ini, kita bersedia datang lagi menyertai kejohanan ini sekiranya mendapat jemputan untuk menyertainya pada edisi akan datang.
“Selain ia menawarkan hadiah wang tunai yang cukup lumayan, kejohanan ini akan sentiasa dinanti-nantikan berdasarkan garisan panduan yang ditetapkan unutk menyertai pertandingan ini.
“Tetapi apa yang penting di sini adalah peluang untuk mengukur prestasi setiap pasukan serta kualiti pertandingan dapat dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan media selepas berakhirnya kejohanan ini.
Rafie berkata, setakat ini Sabah FC dan Selangor FC merupakan antara pasukan jemputan pertama dari Malaysia yang dijemput menyertai kejohanan ini yang berakhir semalam.
“Jemputan ini merupakan penghargaan kepada Sabah FC selepas pencapaian terbaik pasukan layak ke saingan Piala AFC dan berada di tempat ketiga selama dua tahun berturut-turut dalam Liga Super.
Kejohanan berlangsung di Jakarta Internasional Stadium (JIS) turut melibatkan Persija Jakarta, PSIS Semarang, dan Selangor FC.
Sabah FC berjaya merangkul tempat ketiga kejohanan dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah 10-ribu USD setelah menewaskan cabaran PSIS Semarang dengan keputusan 2-1.
Selangor FC berjaya muncul juara selepas menewaskan Persija Jakarta dengan keputusan 1-0 dan membawa pulang hadiah wang tunai 30-ribu USD beserta Piala Rajawali dan medal manakala Persija Jakarta menerima 15-ribu USD di tempat kedua dan PSIS Semarang menerima hadiah 5-ribu USD di tempat keempat.- SABAH MEDIA