HomeIsu tempatanCI UMS lancar inisiatif pemerkasaan akademik

CI UMS lancar inisiatif pemerkasaan akademik

Read Time:1 Minute, 48 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Confucius Institute (CI) telah melancarkan Program Pemerkasaan Akademik Pelajar Bumiputera di Sekolah Rendah Aliran Cina yang pertama di Sabah baru-baru ini.

Menurut kenyataan dari CI UMS, program yang diperkenalkan CI UMS bersama Persatuan Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Cina Jenis Kebangsaan Sabah (Sabah Donglian), dengan sokongan dan bantuan dari Universiti Sains dan Teknologi Changsha (CSUST), China adalah untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik bagi pelajar bukan Cina, terutamanya bumiputera.

“Statistik dari Sabah dan Sarawak menunjukkan bahawa jumlah pelajar Bumiputera di sekolah rendah aliran Cina adalah sebanyak 70% di beberapa kawasan di pinggir bandar dan luar bandar, malah ada yang meningkat sehingga 100% di beberapa lokasi.

“Pembangunan pesat negara China telah membuka banyak peluang untuk kerjasama dengan dunia luar dan mendorong lebih ramai orang untuk mempelajari Bahasa Cina termasuk pelajar Bumiputera.

“Walau bagaimanapun, ramai pelajar bukan Cina mendapati sukar untuk berada di landasan yang sama dengan rakan-rakan mereka yang berbangsa Cina kerana halangan bahasa dan tiada asas dalam bahasa Cina,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut menyebut, guru-guru turut menghadapi cabaran untuk mengajar pelajar-pelajar dari latar belakang yang berbeza dengan tahap kecekapan bahasa yang berbeza-beza.

“Justeru, program ini dilancarkan untuk menangani isu tersebut dengan menyediakan siri latihan, perbincangan, pemantauan, maklum balas, dan penilaian.

“Pengalaman yang diperoleh dari program ini akan diulangi lagi ke sekolah-sekolah lain di Sabah,” demikian kenyataan dari CI UMS.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam satu kenyataan sempena majlis pelancaran program yang berlangsung secara dalam talian turut berharap agar semua peserta mendapat manfaat yang signifikan menerusi program tersebut.

Naib Presiden CSUST, Prof. Liu Zhao Hui juga berkongsi harapan yang sama, selain turut  menekankan kepentingan latihan itu dan menjangkakan lebih banyak kerjasama lebih lanjut antara CSUST dan UMS dalam pelbagai bidang pada masa depan.

Program tersebut telah menarik lebih dari 200 penyertaan dalam kalangan guru dan pengetua dari pelbagai sekolah rendah aliran Cina di Sabah.

Turut hadir pada sesi pelancaran program tersebut Timbalan Pengerusi Sabah Donglian, Tan Chong How; Pengarah CI UMS (Malaysia), Prof. Ts. Dr. Chong Khim Phin; dan Pengarah CI UMS (China), Prof. Madya Dr. Huang Yuehua.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

58 beg darah berjaya dikutip, bantu pesakit memerlukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular