HomePendapatAnalisa SPM 2023 : Cabaran Masa Depan Dalam Penguasaan Matematik dan STEM

Analisa SPM 2023 : Cabaran Masa Depan Dalam Penguasaan Matematik dan STEM

Read Time:6 Minute, 3 Second

1.        Pada 27 Mei 2024, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023. Secara keseluruhan, SPM 2023 telah mencatatkan pencapaian yang lebih baik berbanding SPM 2022, di mana Gred Purata Nasional (GPN) telah menurun dari 4.74 (SPM 2022) kepada 4.60 (SPM 2023).

GPN yang menurun menunjukkan prestasi pencapaian yang lebih baik.

2.        Daripada 373,525 calon yang menduduki SPM 2023, seramai 11,713 calon (3.1%) telah memperolehi keputusan semua gred A (A+, A, A-) untuk semua mata pelajaran. Jumlah ini adalah peningkatan sebanyak 0.4% dari SPM 2022.

3.        Seperti yang di jangkakan, calon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) telah merekodkan pencapaian yang membanggakan. Untuk SPM 2023, terdapat sejumlah 7,981 calon dari 55 buah MRSM di seluruh negara.

4.        Daripada 7,981 calon tersebut, seramai 1,100 calon (13.8%) telah memperolehi keputusan semua gred A (A+, A, A-). Ini bermakna calon MRSM merangkumi 9.4% daripada jumlah calon yang memperolehi keputusan semua gred A di seluruh negara, iaitu 1,100 daripada 11,713 calon.

5.        Di samping itu, tiga buah MRSM, iaitu Kepala Batas, Gemencheh dan Pasir Salak, telah mencatatkan pancapaian 100% calon mendapat gred A (A+, A, A-) untuk Matematik. Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan, di kala keputusan keseluruhan Matematik masih berada di tahap yang rendah.

6.        Untuk SPM 2023, mata pelajaran Matematik terus merekodkan keputusan yang paling lemah berbanding dengan keseluruhan 95 mata pelajaran yang di tawarkan:

  • peratusan pelajar gagal ke-2 tertinggi selepas Matematik Tambahan, di mana 23.2% calon telah mendapat keputusan GAGAL (G)
  • majoriti calon (52.1%) telah mendapat keputusan yang lemah, dengan mencapai gred D, E dan G

7.        Malah, mata pelajaran Matematik telah menunjukkan trend peratusan calon gagal yang sangat tinggi sejak beberapa tahun terdahulu. Dalam tempoh masa 7 tahun (2017 – 2023), lebih 550,000 calon SPM telah gagal Matematik.

Ini adalah satu trend yang amat membimbangkan.

Tahun SPMJumlah Calon MatematikPeratusan Calon Gagal (%)Jumlah Calon Matematik Gagal
2023369,42523.285,707
2022369,34824.389,752
2021375,99725.595,879
2020378,15817.465,799
2019386,01018.671,798
2018388,74218.069,974
2017411,22117.672,375

8.        Memandangkan trend ini sudah berlanjutan untuk sekian lama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah pasti telah meneliti punca jumlah besar kegagalan berkenaan.

9.        Namun begitu, berdasarkan trend berkenaan, apa jua program intervensi yang telah di laksanakan oleh KPM masih belum lagi berjaya untuk mengurangkan peratusan kegagalan secara ketara. Oleh itu, program intervensi sediada wajar di perkasakan agar jumlah calon gagal dapat di kurangkan secara ketara dengan segera.

10.      Di samping berdepan dengan isu kegagalan tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menghadapi isu ramai calon berdaftar yang tidak hadir dan menduduki peperiksaan SPM.

Tahun SPMJumlah Calon BerdaftarJumlah Calon Tidak HadirPeratusan Calon Tidak Hadir (%)
2023383,68510,1602.6
2022388,83214,8583.8
2021392,83710,6812.7

11.      Ini bermakna, setiap tahun, begitu ramai anak muda menoktahkan alam persekolahan selama 11 tahun tanpa memiliki Sijil SPM. Lebih malang lagi, ramai anak muda berkenaan tidak akan memiliki sebarang sijil pencapaian sekolah, memandangkan SPM kini merupakan satu-satunya peperiksaan nasional, setelah KPM memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2021, dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun 2022.

12.      Pada masa yang sama, data KPM juga menunjukkan ramai calon lepasan SPM telah tidak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Untuk SPM 2020 dan SPM 2021 sahaja, jumlah tersebut mencecah hampir 300,000 ribu calon:

  • lepasan SPM 2020 (115,939 orang: 35.16%)
  • lepasan SPM 2021 (180,680 orang: 48.74%)

13.      Malah ada laporan media menganggarkan, dalam tempoh 3 tahun sejak tahun 2020, seramai lebih 450,000 lepasan SPM telah tidak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

14.      Akibatnya, semua isu-isu berkenaan menjejaskan agenda pembangunan modal insan negara untuk melonjakkan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi. Terutamanya aspirasi negara untuk melahirkan modal insan bidang STEM (Science, Technology, Engineering, Mathematics) yang berkemahiran tinggi di era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

15.      Pada Mac 2024, Presiden Small and Medium Enterprises Association of Malaysia (SAMENTA) menyatakan bahawa terdapat lebih 50,000 kekosongan jawatan untuk jurutera dan kakitangan teknikal yang belum dapat di isi di Pulau Pinang dan Kulim. Kekosongan ini tidak dapat di isi walaupun dengan tawaran gaji yang agak lumayan.

16.      Baru-baru ini, pada akhir Mei 2024, Perdana Menteri Malaysia di laporkan berkata bahawa, di bawah Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS), Malaysia mensasarkan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera berkemahiran tinggi. Beliau turut memaklumkan pelaksanaan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) di jangka mampu menjana pelaburan sehingga RM 500 billion di dalam industri semikonduktor negara.

17.      Sudah pasti ini adalah satu sasaran yang mencabar dan sukar untuk di capai, berdasarkan pelbagai isu yang di hadapi ketika ini. Ini termasuklah kesukaran untuk menarik minat anak muda memilih pengajian di dalam bidang STEM. 

18.      Ada cakap-cakap ‘kedai kopi’ menyatakan anak muda tidak berminat untuk memilih bidang pengajian STEM kerana sukar untuk lulus. Betul atau tidak, mungkin Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi ada jawapannya.

19.      Menurut data ‘terkini’ di portal Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), laporan Statistik Pendidikan Tinggi 2022 menunjukkan jumlah kemasukan, enrolmen dan keluaran pelajar di dalam bidang berkaitan STEM adalah kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.

20.      Di dalam laporan Statistik Pendidikan Tinggi 2022 berkenaan, terdapat 9 bidang pengajian yang di senaraikan, iaitu: Pendidikan; Sastera & Kemanusiaan; Sains Sosial, Perniagaan & Perundangan; Sains, Matematik dan Komputer; Kejuruteraan, Pembuatan dan Pembinaan; Pertanian & Veterinar; Kesihatan & Kebajikan; Perkhidmatan; Program Asas.

21.      Daripada 9 bidang pengajian tersebut, dua bidang berkaitan STEM adalah: Sains, Matematik dan Komputer; dan Kejuruteraan, Pembuatan dan Pembinaan. Data Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) jelas menunjukkan jumlah pelajar di dalam kedua-dua bidang pengajian ini adalah sekitar 30% sahaja.

Bidang PengajianKemasukan JumlahKemasukan (%)Enrolmen JumlahEnrolmen (%)Keluaran JumlahKeluaran (%)
Sains, Matematik dan Komputer55,65914.1%157,70113.1%37,90712.0%
Kejuruteraan, Pembuatan dan Pembinaan61,55915.6%219,12418.2%64,47320.5%
Jumlah Keseluruhan Pelajar Semua Bidang393,896 1,202,202 314,700 

22.      Jumlah pelajar bidang STEM yang masih kecil ini sememangnya tidak selari dengan aspirasi negara. Perkara ini tidak boleh di selesaikan di peringkat pengajian tinggi kerana institusi pengajian tinggi menerima ‘produk’ keluaran sistem persekolahan negara seadanya, baik dan buruk.

23.      Justeru itu, perkara ini mesti di tangani awal di peringkat sekolah dengan memupuk minat pelajar di dalam bidang STEM. Sebagai permulaan, kelengkapan peralatan pembelajaran STEM mestilah mencukupi dan terkini di semua sekolah seluruh negara, bandar dan luar bandar.

24.      Apa-apa pun, pastikan pelajar menguasai kemahiran ‘mengira’ dan lulus Matematik.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Agenda Membasmi Miskin Tegar Di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular