HomeIsu tempatanPelajar Program Akuakultur UMS timba pengalaman berharga di Jepun

Pelajar Program Akuakultur UMS timba pengalaman berharga di Jepun

Read Time:1 Minute, 34 Second

Kota Kinabalu: Seramai 13 pelajar tahun akhir Program Ijazah Akuakultur Universiti Malaysia Sabah (UMS) memulakan program latihan industri ‘Student Aquaculture Industry Training Oversea’ (SAITO) di Jepun.

Pelajar berkenaan adalah kumpulan yang ke-21 dihantar oleh Fakulti Sains dan Sumber Asli (FSSA) UMS dan Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI).

Latihan industri itu membuka peluang kepada pelajar untuk bersedia menimba pengalaman langsung dalam bidang akuakultur, iaitu sektor yang penting kepada aspek keselamatan makanan dan pertumbuhan ekonomi di Malaysia. 

Pengarah BMRI UMS, Prof. Madya Dr. Faihanna Ching Abdullah berkata, pengalaman berharga yang akan dibawa oleh pelajar ke UMS pastinya membantu memperkayakan industri akuakultur.

“Bermula pada 11 Mei hingga 29 Julai 2024, para pelajar ditempatkan di kemudahan akuakultur terkenal termasuk Universiti Kindai, Pusat Ternakan Belut Nagasaka, Olive Suissan, dan Koperasi Perikanan Tanoura.

“Kemudahan ini terkenal dengan kejayaan mereka dalam bidang akuakultur dan Institut Penyelidikan Akuakultur akan memberikan para pelajar pengalaman praktikal yang berharga dalam pelbagai kaedah akuakultur dan teknologi baharu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains dan Sumber Asli UMS, Prof Jualang Azlan Gansau turut menekankan kepentingan inisiatif latihan industri itu.

Katanya, UMS amat berbangga dalam menawarkan program latihan seumpama itu yang mempunyai kepentingan besar untuk kedua-dua pihak iaitu pelajar dan industri.

Menurutnya, objektif utama program itu adalah untuk meningkatkan kemahiran praktikal dan pengetahuan pelajar dalam bidang akuakultur sambil menyelami budaya Jepun.

“Mempelajari budaya yang berbeza dan bekerja dalam persekitaran yang pelbagai bukan sahaja meluaskan pengetahuan mereka tetapi juga membantu mereka berkembang sebagai individu dan profesional,” katanya.

Ketua pelajar UMS yang menyertai SAITO, Eric Choong Khai Hang, mewakili kumpulan pelajar berkenaan melahirkan rasa terima kasih atas peluang yang diberikan oleh FSSA dan BMRI UMS.

“Walaupun kami merasakan teruja dan berdebar, kami percaya kerja keras sebagai satu pasukan mendorong kami dengan baik untuk peluang ini.

“Kami berazam untuk mewakili UMS dengan bangga dan akan melakukan yang terbaik untuk memanfaatkan pengalaman ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Teknologi membran selesai masalah pelbagai sektor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular