HomeIsu tempatanTMA Ko-Nelayan usaha sedia hub informasi, rekreasi dalam industri perikanan akuakultur

TMA Ko-Nelayan usaha sedia hub informasi, rekreasi dalam industri perikanan akuakultur

Read Time:2 Minute, 13 Second

Tuaran : Pengwujudan kolam pancing di kawasan Taman Mini Akuakultur (TMA) Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) merupakan satu usaha aktiviti Ko-Nelayan bagi menyediakan hub informasi dan rekreasi dalam industri perikanan akuakultur yang berkait dengan pelancongan.

Pengerusi Ko-Nelayan Kong Soon Choi berkata, TMA turut menyediakan beberapa infrastruktur lain termasuklah penginapan yang mempunyai kapasiti sehingga 60 orang dalam satu masa.

Katanya, kemudahan itu adalah sangat selesa selain kadar sewa yang amat berpatutan.

Menurutnya, antara jenis- jenis penginapan adalah dua unit villa iaitu Villa Lotud dan Vila Sama, satu unit Rumah Laya-Laya, satu unit Dormitori yang boleh memuatkan 16 orang dan dua unit Kabin.

“Selain itu, pihak Ko-Nelayan juga dalam proses pembangunan dan melengkapkan peralatan untuk Aquatic Gallery Ko-Nelayan yang akan menyediakan informasi berkaitan Perikanan Akuakultur seperti spesis ikan bernilai komersil seperti pelbagai kerapu, siakap, ikan merah, batu karang pelbagai jenis, tumbuhan akuatik dan aktiviti komersil akuakultur seperti informasi ternakan ikan.

“Galeri juga akan menyediakan informasi lain seperti pengeluaran ikan hiasan, ternakan kerang- kerangan termasuk ternakan spesis ikan air tawar yang bernilai komersil. Galeri akan menjadi hub informasi yang lengkap khususnya kepada pelanggan atau orang ramai yang berminat dalam Industri Perikanan Akuakultur dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelepasan ikan ke kolam pancing TMA Ko-Nelayan di sini semalam.

Soon Choi berkata, orang ramai juga turut digalakkan untuk datang ke Pusat Latihan Akuakultur Ko-Nelayan bagi mendapatkan maklumat berkaitan kursus-kursus yang dijalankan sepanjang tahun.

“Selain itu, TMA juga menyediakan maklumat berkaitan Pengeluaran Benih Ikan Marin berkualiti menggunakan sistem ternakan terkini yang dinamakan Sabah Efficient Nursery Tank System (SENTS).

“Pengunjung juga boleh melakukan lawatan dan melihat sendiri teknik asuhan tersebut yang merupakan sistem pertama di Sabah.

“Taman ini juga mempunyai pusat propagasi batu karang yang mana orang ramai boleh melihat sendiri spesis – spesis batu karang yang cantik tanpa memerlukan kos yang tinggi untuk pergi ke Semporna dan Kudat untuk aktiviti selaman,” katanya.

Dalam pada itu, Soon Choi berkata, Ko-Nelayam turut mensasarkan seramai 3,000 orang pemancing akan datang ke TMA dalam tempoh setahun.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk pelanggan yang datang untuk mendapatkan informasi berkait dengan perikanan akuakultur.

“Sektor atau industri perikanan Akuakultur merupakan sektor yang diberi keutamaan dalam penyumbang kepada pendapatan negeri dan negara.

“Dasar Sekuriti Makanan dan Dasar Agro Makanan Negara 2.0 menetapkan industri ini menjadi antara penyumbang utama khususnya berkait dengan pendapatan rakyat.

“Dasar ini berhasrat meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat khususnya dari aspek tahap sosioekonomi dan keterangkuman serta ketersediaan makanan. Orang ramai dialu-alukan untuk mendapatkan informasi dan mendapat maklumat secara praktikal bagi memastikan keterlibatan orang ramai adalah lebih efisien,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular