HomeUtamaAmbil tindakan intervensi, tukar kontraktor lewat siapkan Lebuhraya Pan Borneo

Ambil tindakan intervensi, tukar kontraktor lewat siapkan Lebuhraya Pan Borneo

Read Time:2 Minute, 3 Second

Sipitang: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah diminta untuk membuat tindakan intervensi terhadap pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo WP01 antara Sindumin dan Kampung Melalia yang  dilihat gagal disiapkan mengikut jadual termasuk menukar kontraktor yang dilantik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, projek pembinaan lebuhraya itu bermula 3 Disember 2019 dengan kos pembinaan RM483 juta dan sepatutnya disiapkan dalam tempoh 24 bulan iaitu pada 3 Disember 2021.

Katanya, sehingga kini, fasa pembinaan lebuhraya itu hanya mencapai 74 peratus dan kontraktor dilantik iaitu Juta Hajat dan Syarikat Kumpulan Kemajuan KK(Sabah) JV Sdn Bhd memohon lanjutan masa.

Menurutnya, kontraktor terlibat sudah empat kali memohon lanjutan masa iaitu pertama selama 70 hari, kedua (220 hari), ketiga (730 hari) dan keempat (267 hari) lalu dikaji semula untuk disiapkan pada 12 Jun 2025.

“Kita nampak banyak betul kelewetan sini dan meminta JKR serta konsultan supaya membuat intervensi menyelesaikan masalah ini. Jika penilaian JKR ikut prestasi lalu, maka kontraktor ini sudah empat kali membuat lanjutan masa yang menunjukkan kemampuan kontraktor ini adalah sukar untuk menyiapkan projek ini.

“Saya bagi pihak rakyat Sipitang tidak mahu fasa pembinaan lebuh raya  ini ditunda lagi. Jika perlu tukar kontraktor yang dilantik atau fasa pembinaan lebuhraya diambil alih kontraktor lain (penyelamat) supaya siap mengikut jadual.

“Saya tiada masalah dengan pihak kontraktor tetapi saya prihatin dengan penduduk Sipitang, pengguna harian laluan ini,” katanya di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Yusof bersama Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah dan Pegawai Daerah Sipitang Ak Raimy Pengiran Abdul Rahman diberikan taklimat Fasa Pembinaan lebuh raya berkenaan yang disampaikan oleh Wakil Pegawai Penguasa (WP01) JKR Sabah Suhaibun Matusin di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Sipitang.

Yusof berkata, beliau bersama Matbali mengambil berat fasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ini kerana ia penting kepada penduduk daerah Sipitang dan laluan ini merupakan kesinambungan Lebuhraya Pan Borneo dari Sarawak yang telah siap.

Katanya, fasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo WP01 ini menerima keluhan daripada pengguna kerana dilaksanakan secara tidak profesional dan lewat disiapkan.

“Laluan lencongan juga tidak diselenggara dengan baik dengan keadaan jalan raya berlubang, air hujan bertakung disebabkan tiada parit, jalan tidak rata yang membahayakan pengguna.

“Ketika ini boleh dilihat bilangan jentera dan pekerja di sepanjang pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ini tidak mencukupi dan bagi pemindahan kemudahan tiang elektrik, paip air dan fiber optik (telekomunikasi) masih ada kawasan belum dilaksanakan,” katanya.

Dr Yusof berkata, jalan simpang masuk ke kawasan kampung dan rumah penduduk di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo WP01 ini juga tidak diselenggara dengan baik. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Premier Sarawak dikurniakan darjah ‘Seri Panglima Darjah Kinabalu’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular