HomeUtamaSPRM, SESB meterai MoU banteras jenayah rasuah

SPRM, SESB meterai MoU banteras jenayah rasuah

Read Time:3 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengalu-alukan usaha Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) untuk membanteras jenayah rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan.

Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan SESB hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kali kedua sebagai langkah bagi meneruskan kerjasama sedia ada dalam usaha memerangi jenayah rasuah ini.

MoU yang ditandatangani oleh Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbiah dan Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar turut disaksikan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Masidi berkata pihak kerajaan mengalu-alukan pemeteraian MoU tersebut.

“Dalam usaha memerangi amalan rasuah dan saya mengalu-alukan komitmen SESB seperti yang kita sedia maklum SESB mempunyai kakitangan yang paling ramai di Sabah.

“Kita mahu agar SESB ini berfungsi tanpa laporan mengenai tuduhan amalan rasuah atau salah guna kuasa, ini penting bagi memastikan SESB berfungsi dengan baik dan mendapat kepercayaan daripada rakyat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis MoU SPRM dengan SESB dan Ikrar Bebas Rasuah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Beliau berkata, SESB seperti juga Jabatan Air penuh dengan cabaran kecurian letrik, kecurian air dan sebagainya.

“Kadang-kadang mereka dilemparkan pelbagai tuduhan bahawa ada orang yang bersubahat dan mengata mereka, itu sebabnya termeterainya MoU ini, mereka bersungguh-sungguh untuk memastikan SESB ini ditabdir dengan baik, berhemah, bersih dan efisien.

“Justeru, bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada SESB, pengerusi, CEO, tahniah di atas keberanian untuk memerangi gejala-gejala rasuah dan sebagainya.

“Bukan kita menyatakan ada tetapi memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa mereka sebenarnya mengurus SESB ini dengan penuh efisien, bersih, cekap dan amanah,” tegasnya.

Masidi turut mengucapkan terima kasih kepada pihak SPRM kerana telah membantu kerajaan meningkatkan suasana amalan berintegriti di kalangan kakitangan sekali gus meningkatkan hasil negeri.

“Kepada SPRM saya ucapkan terima kasih seperti yang saya nyatakan, kita telah terhutang budi kerana mereka telah membantu bukan sahaja membasmi amalan-amalan rasuah malah mewujudkan suasana amanah dalam pentadbiran awam.

“Kini lebih banyak jabatan dan kementerian bekerjasama dengan SPRM dan ini telah memberikan hasil yang cukup baik, seperti di Kementerian Kewangan pada tahun lalu usaha kita telah diiktiraf oleh SPRM itu sendiri dan ini kita akan lakukan secara beterusan.

“Berikutan daripada bantuan SPRM, saya selaku Menteri Kewangan ingin menyatakan, pungutan atau kutipan hasil negeri ini bertambah tinggi daripada tahun lepas, kerana kakitangan kita lebih efisien memungut dan mengutip hasil yang tertunggak.

“Saya yakin dalam satu atau dua tahun akan datang ini pengurusan dan pentadbiran kerajaan negeri atau pentadbiran perkhidmatan awam ini akan bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan SPRM hari ini, SPRM dan SESB akan merintis kerjasama dalam aspek pencegahan rasuah, pendidikan serta penguatkuasaan antirasuah yang merangkumi tiga skop utama iaitu penganjuran Program Kesedaran dan Pendidikan Antirasuah; Penyaluran Maklumat dan Kerjasama Berterusan Dalam Aspek Siasatan; serta Perkongsian Kepakaran dan Latihan.

“Kedua-dua pihak juga akan menawarkan dan menyediakan kemudahan latihan serta khidmat sokongan logistik kepada program-program termasuk aktiviti-aktiviti yang dijalankan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan termasuk kemahiran dalam aspek pencegahan rasuah.

“SPRM juga akan membantu memberikan khidmat nasihat dan rundingan dengan meneliti amalan, sistem serta tatacara kerja SESB termasuk agensi di bawah seliaan bagi menutup ruang mahupun peluang perlakuan jenayah rasuah,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, SPRM dan SESB telah menandatangani MoU buat kali pertama pada 14 November 2011 selaras komitmen serta pendirian SESB untuk mempromosikan tadbir urus korporat yang baik dengan menekankan budaya kerja yang sihat, berintegriti seterusnya bersih dari segala jenayah rasuah.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir.Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata majlis MoU ini merupakan salah satu usaha berterusan untuk menyemarakkan semangat berintegriti di kalangan warga SESB.

“Selain Ikrar Bebas Rasuah, pada hari ini juga kita akan menyaksikan perjanjian persefahaman di antara SESB dan SPRM ditandatangan di mana kedua-dua pihak beriltizam untuk bersama-sama membanteras jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dan seterusnya meningkatkan lagi imej dan reputasi kedua-dua pihak,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular