HomePendapatKota Belud Bakal Menjadi Tunjang Pengeluaran Beras Di Sabah

Kota Belud Bakal Menjadi Tunjang Pengeluaran Beras Di Sabah

Read Time:7 Minute, 33 Second

1.      Beberapa hari lepas, Ketua Menteri Sabah telah mengadakan lawatan kerja ke Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah, dan mendengar taklimat mengenai perancangan pembangunan sektor pertanian dan perikanan, serta industri makanan di Sabah.

2.        Sejurus itu, Ketua Menteri Sabah telah menggesa MAFFI Sabah untuk mengutamakan golongan miskin tegar di dalam inisiatif yang dilaksanakan, agar dapat membantu golongan berkenaan keluar dari hidup kemiskinan. Menurut beliau, berdasarkan data eKasih setakat 18 Mei tahun 2024, jumlah kemiskinan tegar di Sabah telah berjaya di turunkan kepada 8,699 isi rumah.

3.        Semasa sesi taklimat tersebut, Menteri MAFFI Sabah telah memaklumkan perkembangan terkini berkaitan industri padi dan beras di Sabah, serta penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS). Antaranya:

  • MAFFI Sabah sedang di dalam proses melantik ahli Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS)
  • LPBS memiliki bidang kuasa untuk mengawal-selia industri padi dan beras di Sabah, termasuklah: pengeluaran lesen eksport dan import, serta permit pembungkusan dan penjualan padi serta beras
  • meningkatkan Kadar Sara Diri/ Self-Sufficiency Level (SSL) Beras Sabah kepada 65% pada tahun 2030 dan 100% pada tahun 2035
  • meningkatkan hasil padi daripada purata 2.9 metrik tan/ hektar ketika ini, kepada 7 metrik tan/ hektar menjelang 2030
  • memajukan sawah padi terbiar
  • menambah keluasan dan membuka sawah padi baru dengan kerjasama Syarikat Berkaitan Kerajaan/ GLC negeri serta pelaburan swasta

4.        Penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) adalah langkah penting untuk melonjakkan daya-saing dan pertumbuhan industri padi dan beras di Sabah. Dengan adanya LPBS, industri padi dan beras Sabah dapat di bangunkan secara lebih bersepadu dan berkesan, untuk mencapai matlamat yang di kehendaki segera.

5.        Untuk tempoh masa lebih 40 tahun, industri padi dan beras Sabah telah mengalami kemerosotan yang ketara. Ini telah menjejaskan agenda keterjaminan makanan Sabah, dan menyebabkan Sabah terpaksa bergantung tinggi kepada import untuk memenuhi keperluan penduduk tempatan. 

6.        Kadar Sara Diri/ Self-Sufficient Level (SSL) beras Sabah kini berada pada tahap 22% sahaja, iaitu tahap terendah sejak tahun 1980-an. Ketika itu, kadar SSL beras Sabah berada di tahap 51%. Namun begitu, tahun demi tahun, kadar SSL beras Sabah telah menurun dengan ketara: 51% (1980-an), 27% (1990), 34% (2000), 41% (2004), 24% (2010), 27% (2019).

7.        Malah, penurunan kadar SSL beras Sabah selari dengan kadar SSL beras negara yang turut mengalami trend penurunan yang agak ketara: 72.3% (2015), 70.3% (2016), 70% (2017), 69% (2018), 65% (2021), 62.6% (2022).

8.        Akibatnya, Sabah terpaksa mengimport hampir 80% beras untuk keperluan penduduk tempatan. Menurut data ‘terkini’ Jabatan Pertanian Sabah, dalam tempoh masa 10 tahun (2011 – 2021), jumlah import beras telah meningkat hampir 20%, manakala nilai import beras pula telah meningkat sekitar 45%.

Beras: ImportTahun 2011Tahun 2021Peratusan 2011 -2021 (%)
Kuantiti (metrik tan)220,005261,67218.9%
Nilai (RM)370,545,000534,350,00044.2%

                     Sumber: Jabatan Pertanian Sabah

9.        Dalam tempoh masa yang sama (2011 – 2021), Sabah telah merekodkan pengucupan keluasan kawasan penanaman padi sebanyak 15.6% (7,070 hektar), serta hasil padi telah merosot sebanyak 15.5% (12,906 metrik tan).

PadiTahun 2011Tahun 2021Peratusan 2011 – 2021 (%)
Keluasan Kawasan (ha)45,27538,20515.6%
Hasil (metrik tan)83,31370,40715.5%

                     Sumber: Jabatan Pertanian Sabah

10.      Sudah pasti kemerosotan hasil padi (15.5%) serta peningkatan import beras (18.9%) yang ketara dalam tempoh masa 10 tahun itu amatlah membimbangkan. Kebergantungan hampir 80% kepada beras import adalah sesuatu yang tidak mapan untuk jangka masa panjang, dan meletakkan Sabah ‘at the mercy of’ pergerakan harga dan bekalan beras global.

11.      Sejak kebelakangan ini, berlaku pergolakan melibatkan harga dan bekalan beras global. Fenomena perubahan iklim/ climate change telah menyebabkan kemerosotan hasil padi di banyak negara, dan seterusnya mengurangkan bekalan beras global.  

12.      Tunjang utama industri padi dan beras Sabah ialah Kota Belud, iaitu satu-satunya Jelapang Padi negara yang terletak di Sabah. Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu/ Integrated Agricultural Development Area (IADA) Kota Belud merupakan salah satu daripada jelapang padi negara.

13.      Menurut data ‘terkini’ Jabatan Pertanian Sabah, jumlah keluasan kawasan padi di daerah Kota Belud ialah 8,811 hektar, merangkumi sekitar 25% daripada jumlah keseluruhan kawasan padi di Sabah.

14.      Namun begitu, dalam tempoh masa 2007 – 2021, keluasan kawasan padi di Kota Belud telah mengecil sebanyak 6.5% (614.8 hektar), di kala jumlah keseluruhan keluasan kawasan padi di Sabah telah bertambah sebanyak 5.1% (1,870.6 hektar).

Ini adalah satu perkara yang menghairankan dan bertentangan dengan usaha menjadikan Kota Belud sebagai jelapang padi Sabah yang unggul.

PadiTahun 2007Tahun 2011Tahun 2017Tahun 2021Perbezaan 2007 – 2021 (%)
Kota Belud: Keluasan kawasan padi (ha)9,425.8012,444.0010,834.008,811.00– 6.5%
Peratusan (%)25.927.525.223.1 
Sabah: Jumlah keluasan kawasan padi (ha)36,334.4045,275.0043,019.0038,205.005.1 %

      Sumber: Jabatan Pertanian Sabah

15.      Pembangunan Kota Belud sebagai jelapang padi Sabah telah di usahakan sejak lebih satu dekad yang lalu. Pada tahun 2010, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia di laporkan berkata RM 1 billion telah di peruntukkan untuk menjadikan Kota Belud sebagai jelapang padi Sabah, dengan membuka kawasan padi seluas 10,000 hektar, serta meningkatkan hasil padi Sabah daripada 30% kepada 60%.

16.      Pada Julai 2022, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia telah menyangkal kenyataan Ketua Menteri Sabah ketika itu yang menyatakan projek jelapang padi di Kota Belud telah gagal dan tidak mendatangkan hasil seperti di harapkan. Beliau menegaskan masih terlalu awal untuk mana-mana pihak melabelkan projek jelapang padi di Kota Belud sebagai gagal.

17.      Menurut beliau, sejak di lancarkan, IADA Kota Belud telah mencapai beberapa kejayaan walaupun berdepan dengan kekangan infrastruktur sistem pengairan. Antaranya: IADA Kota Belud telah dapat merekodkan tuaian hasil padi dua kali setahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

18.      Manakala, pada Mac 2024, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia di laporkan berkata bahawa pembinaan Kompleks Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud di jangka siap menjelang tahun 2027. Antara lain, kompleks berkenaan akan menjadi pusat latihan pesawah, bengkel jentera pertanian dan makmal analisis pertanian.

19.      Beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan RM 36 juta pada tahun 2022 bagi pembinaan kompleks berkenaan, selaras dengan usaha untuk memperkasa peranan IADA untuk pembangunan sektor padi di Kota Belud dan Sabah.

Persoalan: Jika Kerajaan Malaysia benar-benar serius untuk membangunkan sektor padi di Kota Belud dan Sabah, kenapa ianya telah mengambil masa yang begitu lama untuk melaksanakan pembinaan kompleks tersebut?

20.      Kerajaan Sabah telah meletakkan sasaran Kadar Sara Diri/ Self-Sufficiency Level (SSL) Beras yang begitu tinggi, iaitu: 65% pada tahun 2030 dan 100% pada tahun 2035. Ini merupakan peningkatan 3 kali ganda dalam tempoh 6 tahun, dari Kadar SSL beras 22% ketika ini.

21.      Hakikatnya, sasaran Kadar SSL beras 65% adalah agak mustahil untuk di capai dalam tempoh yang singkat, memandangkan pelbagai isu legasi yang masih di hadapi oleh pesawah di Sabah, termasuklah: infrastruktur pengairan yang tidak menyeluruh dan jentera padi yang tidak mencukupi.

22.      Lebih-lebih lagi, pembangunan jelapang padi Kota Belud di lihat berjalan terlalu perlahan, seolah-olah tiada sebarang ‘sense of urgency’. Jika pembangunan jelapang padi Kota Belud pun perlahan, apatah lagi pembangunan sektor padi di lain-lain tempat di seluruh Sabah.

23.      Kejayaan agenda keterjaminan makanan Sabah bergantung tinggi kepada kejayaan jelapang padi Kota Belud. Walaupun jelapang padi Kota Belud belum lagi gagal, ianya juga belum lagi mencapai kejayaan yang di sasarkan. Kota Belud adalah tunjang kejayaan sektor padi di Sabah.

                                                                                                            Sumber: IADA Kota Belud

24.      Justeru itu, Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) mestilah bertindak pantas untuk melaksanakan perancangan bersepadu pembangunan sektor padi dan beras Sabah.

25.      Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Agenda Membasmi Miskin Tegar Di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular