HomeIsu tempatanUMS terap ilmu teknologi digital ekopelancongan kepada komuniti

UMS terap ilmu teknologi digital ekopelancongan kepada komuniti

Read Time:1 Minute, 40 Second

Kota Kinabalu : Sekumpulan pelajar Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendekati komuniti Kampung Seri Serbang Bongawan, Papar bagi memperkenal kemudahan teknologi digital dalam industri ekopelancongan. 

Lima pelajar yang dikenali sebagai kumpulan Reckers itu berkongsi tentang penggunaan teknologi digital dan pengendalian media sosial dalam memajukan sektor ekopelancongan di pusat pelancongan Kalimpapat Enterprise. 

Mentor program, Awang Ahmad Mohd Yunus berkata, program tersebut sebagai memenuhi salah satu tugasan yang harus dilakukan oleh kumpulan berkenaan dalam Pertandingan Impact Digital with Community Tourism (IDCT) 2023 anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Katanya program tersebut antara lain sebagai salah satu usaha membantu komuniti mempromosikan destinasi pelancongan melalui penggunaan teknologi digital.

“Pertandingan IDCT 2023 disertai oleh institusi pengajian tinggi di Sabah dan Sarawak, dan UMS tidak terkecuali. Salah satu syarat pertandingan ini adalah dengan mengadakan aktiviti bersama komuniti.

“Justeru, kami memilih pusat pelancongan Kalimpapat Enterprise untuk program pemindahan ilmu kali ini. Dengan adanya kerjasama antara universiti, komuniti dan industri, program seumpama ini dapat meningkatkan potensi aktiviti pelancongan sekali gus meningkatkan pendapatan komuniti tempatan.

“Promosi destinasi pelancongan dengan menggunakan platform digital dapat menarik lebih ramai pelancong serta memperkembang peluang sedia ada untuk terus meningkatkan bilangan pelancong ke tempat ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Reckers, Mohd Syahrul Faiq Mohamad berkata sejumlah RM6,000 telah disalurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk pelaksanaan program tersebut bersama komuniti. 

“Pertandingan akhir IDCT 2023 akan diadakan pada bulan Ogos nanti di Kuching Sarawak. Kami berharap kolaborasi antara Kalimpapat Enterprise, Reckers dan semua pihak yang terlibat dalam program ini menjadi contoh bagaimana kerjasama antara universiti-komuniti-industri dapat membawa kebaikan kepada semua pihak. 

“Harapan kami agar program ini dapat menjadi inspirasi bagi semua peserta untuk terus menerapkan nilai-nilai kerjasama dan inovasi dalam kehidupan seharian.

“Selain itu, kami juga berharap program ini akan memberikan impak positif kepada komuniti Kalimpapat dan menjadi langkah awal yang bermakna dalam memajukan industri pelancongan tempatan,” katanya.

Hadir sama pada program tersebut, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) FPT, Profesor Dr. Maria Lourdes T. Lardizabal. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 100 pengunjung meriahkan Christmas @ KK Sentral Riverside Market

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular