Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Mustapha Sakmud mengajak Suara Mahasiswa untuk menyertai Forum Belia Madani yang akan dianjurkan untuk berbincang mengenai isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Perkara itu dinyatakan sebagai mengulas tindakan Suara Mahasiswa menganjurkan Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah yang diadakan di hadapan Menara Kinabalu semalam.
Mustapha berkata, apa yang ingin mereka suarakan itu hak mereka, bagi pihaknya di peringkat kerajaan pusat dan negeri kini sedang berusaha menyelesaikan isu air itu.
“Mereka (mahasiswa) ingin suarakan hak mereka, saya tahu semua rakyat Sabah terkesan dengan isu air dan itu kita akui. Kita di peringkat kerajaan pusat dan negeri sedang berusaha bersungguh-sungguh cuba selesaikan isu ini.
“Isu ini bukan mudah untuk kita selesaikan dalam masa terdekat semua pun maklum itu, ini warisan daripada masalah-masalah yang berlaku terdahulu daripada kerajaan-kerajaan terdahulu seperti disebut mahasiswa semalam, jadi kita cuba untuk selesaikan isu ini tapi memerlukan sedikit masa.
“Manakala di dalam kampus UMS ini apa yang kita cuba selesaikan dengan membuat telaga tiub dan kita minta Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menstabilkan sumber air yang disalurkan ke UMS ini termasuk pemotongan besar-besaran secara berkala penyambungan haram yang berlaku di jajaran paip utama kita.
“Saya minta selepas ini kita bersikap tegas lagi buat secara berkala, kita mahu pastikan supaya sumber air ini dapat sampai ke UMS tanpa gangguan, tanpa diganggu oleh sambungan-sambungan haram yang selalu berlaku terutama di kawasan setinggan,” tegasnya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mustapha turut kecewa dengan penganjur perhimpunan itu yang enggan menyampaikan memorandum tuntutan air mereka kepada Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya semalam.
“Itu yang saya agak kecewa bila mereka hanya ingin serahkan kepada Ketua Menteri (CM) Datuk Seri Hajiji Noor, saya fikir itu agak keterlaluan, perjuangan kita ini adalah untuk bantu selesaikan isu air.
“Mesejnya serahkan memorandum kalau ada wakil daripada CM serahkan sahaja itu penting tapi bila sampai tidak mahu serahkan kepada orang lain, mahu juga kepada CM maknanya itu satu mesej tidak baik dan tidak menggambarkan dari segi jati diri seorang mahasiswa.
“Jadi saya harap supaya jangan perkara ni berulang sebab akhirnya bila diserahkan kepada Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey benda tu akan disampaikan kepada CM malah beliau (Shahelmey) adalah yang bertanggungjawab atas isu air.
“Saya fikir mereka hantar saja memorandum itu dan tidak perlu sampai bermalam menunggu, ia memberi mesej agak tidak baik sebagai seorang mahasiswa, saya harap perkara ini difikirkan semula.
“Kita mahu bagi komitmen kepada mahasiswa bahawa kita dengar bukan kita tutup telinga, kita dengar semua masalah ini dan kita ambil tindakan mengikut fasa-fasa yang kita cuba terdaya di peringkat negeri dan pusat, jadi mohon bersabar,” jelasnya.
Justeru itu, beliau mahu mengajak Suara Mahasiswa menyertai forum untuk membincangkan isu air tersebut.
“Saya juga mahu mengajak Suara Mahasiswa, kita akan anjurkan forum di bawah Forum Belia Madani supaya mereka hantar wakil mereka bincang isu ini dalam forum dan kita boleh tampilkan pihak-pihak yang berkuasa menerangkan kepada mereka supaya mereka dapat maklumat yang benar sebab saya lihat ada maklumat yang tidak sampai kepada pelajar-pelajar ini,” katanya.
Beliau turut menasihatkan kepada mahasiswa supaya mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan sekiranya mahu mengadakan demonstrasi.
“Memang boleh berdemonstrasi tapi ikut peraturan, jika peraturan-peraturan itu dipatuhi saya fikir tidak akan memberi kesan kepada mereka, tapi kalau ada yang langgar peraturan, mereka kena tanggung sendiri sebab kita sudah bagi nasihat sebelum ini.
“Kita juga tidak menghalang mahasiswa untuk suarakan hak mereka tapi yang kita tidak mahu mereka ditunggangi oleh mana-mana pihak untuk kepentingan politik atau peribadi masing-masing,” tegasnya.