Kota Kinabalu : Sabah FC mengesahkan tiket untuk mara ke suku akhir selepas berjaya menewaskan Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) FC dengan berpesta gol 7-0 dalam aksi pusingan 16 Piala FA di Stadium Likas di sini malam tadi.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu akan bertemu Terengganu FC di pusingan suku akhir yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.
Sebaik babak pertama bermula, Sabah tidak menunggu lama untuk mengatur serangan ke gawang pasukan pelawat dengan beberapa percubaan awal.
Pemain import tuan rumah Saddil Ramdani akhirnya berjaya menghadiahkan gol pertama Sabah menerusi sepakan percuma diluar kotak penalti pada minit ke-17 selepas Jaffry Chiew dijatuhkan diluar kotak penalti menjadikan keputusan 1-0.
Serangan bertali arus tuan rumah ke gawang pelawat membuahkan hasil apabila penyerang Sabah Ramon Machado menambah gol kedua selepas menyepak masuk bola hantaran Jaffry pada minit ke-28.
Dua minit berselang, Ramon sekali lagi hampir menambah gol ketiga menerusi tandukan selepas menerima bola hantaran S.Kumaahran namun tandukannya tinggi melepasi palang KL Rovers FC.
Bagaimanapun, Ramon berjaya menambah gol ketiga selepas menanduk masuk bola hantaran Dominic Tan pada minit ke-44 menjadikan Sabah mendahului 3-0.
Tamat masa rehat, ketua pasukan Sabah, Park Taesu terus menambah derita pasukan pelawat dengan menambah gol keempat selepas mudah menolak masuk bola hantaran Daniel Ting pada minit ke-51.
Ramon sekali lagi berjaya mencipta hatrik bagi menambah gol kelima Sabah pada minit ke-58 selepas menerima bola hantaran Saddil.
Kehadiran 3,900 penyokong tuan rumah terus digembirakan dengan gol keenam Sabah menerusi sepakan Jaffry yang mudah menolak masuk hasil hantaran Park Taesu pada minit ke-72 menjadikan kedudukan 6-0.
Minit akhir perlawanan, Sabah FC dihadiahkan gol ketujuh selepas pemain pelawat Mohammad Raffi Nagoorgani tertampan masuk bola hantaran Saddil pada minit ke-93 perlawanan.
Keputusan 7-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan. – SABAH MEDIA