HomeUtamaUMS digesa lapor polis, jika ada pihak pertikai peruntukan RM5 juta selesaikan...

UMS digesa lapor polis, jika ada pihak pertikai peruntukan RM5 juta selesaikan isu air

Read Time:2 Minute, 15 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) digesa supaya membuat laporan polis sekiranya ada yang mempertikaikan dana RM5 juta diperuntukkan untuk menyelesaikan isu bekalan air di universiti itu.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Mustapha Sakmud berkata beliau telah bertemu dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pagi tadi mengenai tuduhan-tuduhan yang dilemparkan berkaitan dengan RM5 juta diperuntukkan untuk menyelesaikan isu air di UMS kononnya telah disalahgunakan.

“Saya dengan rombongan telah memberi laporan kepada Ketua Menteri (Hajiji) tentang isu air di dalam kampus UMS ikut perspektif kita, sebab kita agak risau masih ada lagi tuduhan-tuduhan di luar sana yang mengatakan RM5 juta itu disalahgunakan.

“Saya mahu tegaskan di sini bahawa duit yang telah diperuntukkan RM3 juta dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan RM2 juta dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah digunakan sebaiknya untuk membina telaga tiub di UMS, dan itulah yang kita dapat 1 juta liter air sehari yang menjadi alternatif tambahan kepada sumber air daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) jadi tiada unsur-unsur penyelewengan.

“Justeru, saya harap jika ada lagi mana-mana pihak yang cuba untuk pertikaikan isu ini saya akan gesa supaya UMS membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Belia Madani di Bangunan Canselori, UMS di sini, hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau turut menegaskan kepada mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan #KamiMahuAir Sabah di hadapan Menara Kinabalu semalam supaya bertindak secara rasional dan fahami fakta sebenar mengenai isu tersebut.

“Kita mahu tegaskan, saya sudah nasihatkan mereka supaya bertindak secara rasional fahami fakta dengan sebenar, jangan guna fakta yang salah sebab saya tidak mahu imej kementerian, imej UMS tercemar oleh mana-mana pihak yang cuba peralatkan isu ini untuk kepentingan organisasi atau politik masing-masing jadi saya amat tegas dalam isu ini.

“Mereka boleh ajak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasat atau tidak tapi saya mahu bagi ketegasan di sini bahawa duit itu diguna sepenuhnya untuk cuba kurangkan masalah air yang berlaku di dalam kampus ini, itu dalam kampus, saya tidak bercakap tentang diluar kampus.

“Dana tu memang diperuntukkan untuk kegunaan di dalam kampus UMS,” tegas beliau.

Dalam pada itu, katanya, tuduhan yang dilemparkan itu juga boleh menjejaskan kredibiliti pengurusan UMS.

“Tuduhan itu juga menjejaskan kredibiliti pengurusan UMS dan seperti kita tahu dana tersebut memang digunakan sebaiknya oleh UMS untuk cuba menyelesaikan masalah air di kampus.

“Kita tidak mahu isu ini dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak atau disalahertikan oleh mahasiswa menuduh yang bukan-bukan dikaitkan dengan kerajaan negeri padahal itu isu hanya melibatkan UMS dan tiada kaitan dengan yang lain-lain, itu yang salah faham, mereka faham tapi kadang-kadang ada yang cuba memanipulasi isu ini, jadi saya fikir itu tidak baik untuk imej UMS,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular