HomeUtamaIbadah korban semai sikap prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan

Ibadah korban semai sikap prihatin terhadap golongan kurang berkemampuan

Read Time:1 Minute, 23 Second

Tuaran : Ibadah korban yang dilaksanakan sempena Hari Raya Aidiladha dilihat mampu menyemai sikap peduli umat Islam terhadap golongan yang kurang berkemampuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sikap itu juga kemudiannya dizahirkan menerusi amalan bersedekah kepada golongan asnaf serta fakir miskin.

“Hari Raya Aidiladha memberi keinsafan kepada umat Islam bukan sahaja mencari keredahan Allah SWT, tetapi semangat dan ibadah korban menjadi pengajaran untuk peduli kepada golongan yang kurang berkemampuan.

“Selepas solat sunat Hari Raya Aidiladha, umat Islam akan mengadakan ibadah korban masing-masing, terutama mereka yang mempunyai niat untuk bersedekah korban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Korban Sempena Aidiladha di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, di sini  hari ini.

Hajiji berkata, apa yang lebih penting adalah semangat dan niat kepedulian individu kepada masyarakat yang kurang berkemampuan.

Hadir sama mengiringi beliau, Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.

Pada majlis itu, Hajiji  secara simbolik menyerahkan lembu korban kepada Ketua Polis Daerah Tuaran, Supt. Noraidin Awang Maidin.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman turut beramah mesra dengan anggota dan keluarga IPD Tuaran serta tetamu lain yang hadir.

Sementara itu, Noraidin berkata, kesemua binatang korban terbabit disumbangkan oleh wakil-wakil rakyat di kawasan Tuaran dan merupakan acara tahunan.

“Binatang korban akan diberikan kepada golongan asnaf kesemuanya berjumlah enam ekor binatang termasuk seekor kerbau.  

“Aktiviti sekarang adalah melapah di mana kita akan agihkan daging mengikut hukum Islam kepada semua warga IPD Tuaran dan juga golongan asnaf di sekitar daerah ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

ECoS terus tekankan kepentingan keselamatan elektrik kalangan rakyat Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular