Kota Kinabalu : Operasi Pasar Besar Kota Kinabalu kekal dilaksanakan bermula jam 5.30 pagi sehingga jam 6 petang berdasarkan peruntukan di bawah Undang-undang Kecil (Pasar) Bandaraya Kota Kinabalu 1966.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin Samitah berkata, berdasarkan undang-undang ditetapkan, masa yang ditetapkan untuk perniagaan pasar dibuka kepada orang awam adalah pada jam 5.30 pagi.
“Walau bagaimanapun, para peniaga akan diberi laluan untuk membuat persediaan gerai masing- masing bermula jam 5 pagi dan bersedia untuk dikunjungi oleh orang awam bermula jam 5.30 pagi.
“Pematuhan masa pembukaan dan penutupan pasar ini adalah penting bagi memastikan proses pengoperasian pasar berjalan dengan lancar, terkawal dan teratur,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sabin berkata, selaras dengan itu, DBKK ingin menyatakan penjelasan bahawa tiada peraturan baharu dibuat ke atas masa operasi pasar.
Katanya, DBKK turut mengingatkan kepada orang awam agar sentiasa menjaga keselamatan diri semasa membeli-belah di musim perayaan dan sentiasa menjaga kebersihan serta kesejahteraan persekitaran Bandaraya Kota Kinabalu. – SABAH MEDIA