HomeUtama'Tangkap pesalah curi air, dakwa di mahkamah' - Hajiji

‘Tangkap pesalah curi air, dakwa di mahkamah’ – Hajiji

Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk melaksanakan undang-undang di bawah bidang kuasanya dan membawa pesalah mencuri air ke mahkamah perundangan.

“Tangkap mereka (pesalah) dan dakwa di mahkamah. Begitu juga, kami mahu kilang-kilang yang didapati mencuri air dibawa ke mahkamah dan bukannya hanya mengeluarkan kompaun,” tegasnya.

Beliau berkata adalah mustahak untuk tindakan tegas diambil terhadap mereka yang mencuri air kerana sambungan haram telah dikenal pasti sebagai punca utama 60 peratus air tidak terhasil (NRW) di Sabah, yang tertinggi di negara ini.

Bercakap pada mesyuarat pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri hari ini, Hajiji berkata Kabinet Negeri telah memanggil Jabatan Air untuk taklimat berikutan demonstrasi oleh sekumpulan termasuk pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menuntut isu air diselesaikan.

” Kabinet Negeri diberi taklimat bahawa dalam tempoh dua bulan lalu, UMS hanya mengalami gangguan bekalan air selama satu atau dua hari akibat paip pecah.

“Jabatan Air juga telah membekalkan air kepada UMS antara empat juta hingga tujuh juta liter setiap hari ditambah dengan tiub telaga yang boleh membekalkan satu juta liter setiap hari.

“Saya telah meminta Naib Canselor UMS untuk lihat perkara itu untuk mengetahui punca air tidak sampai kepada pelajar.

“Jemaah Menteri diberi taklimat bahawa bekalan air ke UMS semakin berkurangan berikutan banyak sambungan haram dikesan dari lima kampung sehingga ke universiti.

“Sebab itu saya mahu pihak penguat kuasa Jabatan Air pergi dan memutuskan sambungan haram ini. Selain itu, ambil tindakan tegas terhadap pesalah.

“Sambungan haram itu didapati membekalkan air ke beberapa kampung yang terletak di belakang UMS, iaitu di atas tanah yang menjadi pertikaian antara peneroka dan pemilik tanah,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Hajiji turut mencadangkan pihak Jabatan Air untuk memasang tangki 500 liter di tapak yang kerap mencuri air dan mengenakan bayaran kepada penduduk berkenaan.

“Mungkin, pihak Jabatan Air boleh memasang tangki 500 liter di tapak dan mengenakan bayaran kepada penduduk di sana untuk air. Ini akan menghalang mereka daripada menyambung semula secara haram ke saluran utama bekalan air,” katanya.

Namun begitu, katanya tanggungjawab Kerajaan Negeri adalah untuk membekalkan air dan pelbagai usaha telah dilakukan bertentangan dengan dakwaan pembangkang.

“Loji Rawatan Air Telibong II telah siap dan kini menunggu pemasangan paip air siap, apabila siap ia akan menyediakan tambahan 160 juta liter sehari (MLD) untuk menampung bahagian utara Sabah termasuk UMS dan kawasan sekitarnya.

“Selain itu, kerja-kerja meningkatkan bekalan air di bahagian selatan Pantai Barat yang akan memberi manfaat kepada penduduk di Papar, Lok Kawi dan Putatan telah pun bermula lapan bulan lalu dan dijangka siap menjelang 2026,” jelas beliau lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Mesyuarat berhubung isu GISBH di Sabah diadakan bulan depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular