HomeUtamaBawa bakul sendiri, tiada lagi beg plastik untuk pembeli di Kota Kinabalu...

Bawa bakul sendiri, tiada lagi beg plastik untuk pembeli di Kota Kinabalu bermula Ogos

Read Time:1 Minute, 39 Second

Kota Kinabalu : Penggunaan beg plastik khususnya di sekitar bandaraya Kota Kinabalu tidak akan diberikan sepenuhnya kepada pembeli bermula Ogos depan.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin Samitah berkata, kempen ‘Bawa Beg Bah’ (3B) yang kini memasuki fasa keempat pelaksanaan adalah bertujuan mengurangkan penggunaan beg plastik konvensional.

“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga sedang dalam usaha untuk mengembangkan Kempen 3B ke fasa keempat pelaksanaannya.

“Fasa ini melibatkan pasar dalam dan luar bangunan dibawah pengurusan DBKK yang terdiri daripada enam buah pasar dalam bangunan dan 44 tapak pasar luar bangunan.

“Sementara itu, fasa kelima iaitu fasa terakhir kempen ini yang dijangka bermula pada Ogos akan menambah bilangan hari daripada tiga hari kepada tujuh hari seminggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan sambutan hari alam sekitar sedunia peringkat bandaraya Kota Kinabalu di sini.

Sabin berkata, pihaknya berharap melalui kempen itu ianya dapat menggalakkan amalan hijau melalui konsep 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) dalam kalangan warga Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Sabin berkata, DBKK juga serius dalam menguatkuasakan undang-undang kecil bagi memastikan tahap kebersihan, keteraturan dan kesihatan Bandaraya Kota Kinabalu berada pada tahap yang baik.

Katanya, bagi tempoh bermula Januari hingga Mei tahun ini, pelbagai aktiviti penguatkuasaan telah dijalankan.

“Antaranya, pelaksanaan sebanyak 305 operasi penguatkuasaan Undang-undang Kecil Anti Sampah Sarap, dengan kompaun sejumlah 1507 telah dikeluarkan atas kesalahan membuang sampah di merata-rata tempat.

“Selain itu,pemeriksaan dan pengredan sebanyak 954 premis makanan. Daripada jumlah ini sebanyak 291 premis mendapat Gred A, 658 premis mendapat Gred B dan 5 premis mendapat Gred C.

“Sebanyak 194 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang melanggar syarat lesen dan kriteria dalam pemeriksaan kebersihan premis makanan. Sebanyak 240 premis telah menjalankan kawalan makhluk perosak (pest control),” katanya.

Tambahnya, turut dilaksanakan penarafan kebersihan tandas premis makanan.

“Sebanyak 583 tandas diperiksa, daripada jumlah ini sebanyak 125 tandas memenuhi keperluan tandas Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) (taraf 4 bintang dan ke atas), 458 tandas mendapat taraf 3 bintang ke bawah,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Utama

13 barangan di bawah SHMMP di Labuan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular