Kota Kinabalu : Sabah FC II memerlukan sokongan padu pada pertemuan menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor, petang ini.
Ketua Jurulatihnya, Johnny Dominicus berkata, kehadiran penyokong serta peminat setia Sabah FC II ini akan memperkuatkan dalam usaha pasukan itu melakar kemenangan pertama di kawasan lawan nanti.
Katanya, ini akan memastikan sokongan tegar akan dapat meniup semangat pemain untuk memburu kemenangan yang diharapkan oleh pihak pengurusan.
“Bahkan, sokongan berterusan Sabah FC II akan membuka ruang kepada pemain muda serta pelapis untuk berani belajar daripada kesilapan sekali gus konsisten memperbaiki prestasi, dari semasa ke semasa.
“Misi menang diterapkan dalam kalangan semua pemain adalah matlamat Sabah FC II pada kali ini, semua pemain perlu bersiap sedia mencapai kemenangan pertama khususnya di gelanggang lawan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Johnny berkata, adalah tidak mustahil kali ini Sabah FC II mencapai menang kerana mereka sudah bersiap sedia ke arah tersebut.
“Memang kita semua harapkan kemenangan, dan kita akan buat yang terbaik untuk mencapai sesuatu keputusan yang baik.
“Teruskan menyokong pasukan kita tanpa berbelah bagi, kerana tanpa peminat dan penyokong di laman sendiri, siapa lagi yang kita harapkan, sudah tentu kita mahu menyokong pasukan sendiri,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC