HomeUtamaMalaysia menunjukkan peningkatan positif isu pemerdagangan manusia

Malaysia menunjukkan peningkatan positif isu pemerdagangan manusia

Read Time:1 Minute, 36 Second

PUTRAJAYA: Malaysia kini disenaraikan pada kedudukan Tier 2 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan tengah malam tadi.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, kedudukan itu amat strategik kerana sebelum ini Malaysia dinilai pada tahap Tier 2 Pemerhatian pada 2023 dan kali terakhir berada pada Tier 2 adalah pada 2017.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil usaha pelbagai pihak berkepentingan yang memberi sumbangan bermakna dan berterusan dalam menjayakan agenda membanteras pemerdagangan orang di Malaysia.

“Antara pencapaian signifikan yang direkodkan adalah peningkatan bilangan penyiasatan, sabitan kes dengan hukuman, program kesedaran dan pendakwaan terhadap penjawat awam.

“Ia juga termasuk peningkatan pendakwaan kes pemerdagangan buruh, penyaluran peruntukan kepada rumah perlindungan serta peningkatan kelulusan kebenaran bergerak bebas kepada mangsa pemerdagangan orang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, laporan terbabit menggariskan 16 penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2024 hingga 31 Mac 2025. 

Selain itu, laporan terbabit turut merekodkan penambahbaikan baharu iaitu memberi perkhidmatan berpaksikan mangsa kepada semua tanpa syarat yang memerlukan penyertaan mereka dalam prosiding jenayah. 

“Tiga fokus utama direncana bagi memandu hala tuju pelaksanaan usaha negara iaitu mempertingkatkan kerjasama antara agensi, memperhebat usaha mengenalpasti dan melindungi mangsa serta menambah baik proses pendakwaan. 

“Dalam hubungan ini, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) diterajui oleh KDN bersama kementerian dan agensi lain beriltizam melaksanakan tindakan dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang di Malaysia termasuk dalam menangani trend terbaharu membabit penipuan pekerjaan dan insiden pekerja terabai,” katanya. 

Justeru, KDN dan MAPO terbuka untuk berganding bahu dengan badan bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat madani (CSO), pertubuhan antarabangsa, perwakilan diplomatik asing, ahli akademik dan pihak majikan dalam menangani isu ini melalui pendekatan menyeluruh negara. 

“Komitmen ini diharap dapat menghasilkan inisiatif signifikan berdasarkan teras perundangan, penguatkuasaan, perlindungan dan pencegahan merentasi fungsi pihak berkepentingan yang boleh meningkatkan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang di Malaysia,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

DBKK laksana program ‘Jom Bayar Kompaun’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular