HomeUtamaNTW mampu meningkatkan kemahiran tenaga kerja di Sabah

NTW mampu meningkatkan kemahiran tenaga kerja di Sabah

Read Time:2 Minute, 1 Second

Kota Kinabalu: Pelaksanaan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) adalah seiring dengan komitmen kerajaan negeri untuk memperkasa dan memperkukuh pusat latihan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja separa mahir, mahir dan berpengetahuan bagi memenuhi keperluan pelabur di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, untuk mencapai matlamat itu kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp boleh dilaksanakan dalam beberapa cara untuk memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat selain bertujuan memberi kemudahan latihan kemahiran kepada rakyat negara ini

“Antaranya, memperkenalkan lebih banyak kursus latihan yang relevan dengan keperluan industri semasa dan masa depan di negeri ini. Selain itu, membangunkan program latihan yang disesuaikan untuk pekerja separa mahir dan program ini boleh merangkumi latihan praktikal di tempat kerja.

“Kita juga boleh memperluaskan akses kepada latihan melalui platform pembelajaran dalam talian. Ini akan membolehkan lebih ramai rakyat, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, untuk mendapat akses kepada peluang latihan yang berkualiti tanpa perlu meninggalkan kawasan mereka.

“Oleh itu, bagi merealisasikan semua inisiatif ini, kerjasama rapat dengan KESUMA dan HRD Corp adalah sangat penting. Saya berharap NTW ini dapat dilaksanakan setiap tahun manakala latihan atau program kemahiran terus diperkukuhkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan NTW 2024 peringkat negeri Sabah di Kompleks Jabatan Penjara Negeri Sabah, di sini hari ini 

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Arif.

Dalam pada itu, Hajiji berkata dengan sokongan KESUMA dan HRD Corp serta pihak yang berkaitan, kempen kesedaran yang lebih meluas untuk menggalakkan lebih ramai rakyat mengambil bahagian dalam program latihan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Kerajaan negeri Sabah komited dalam usaha membudayakan pembelajaran sepanjang hayat sesuai dengan objektif Minggu Latihan Kebangsaan dianjurkan.

“Saya amat berbangga dengan inisiatif ini kerana setiap lapisan masyarakat dapat diberi peluang untuk menambah pengetahuan khususnya dengan kerjasama Jabatan Penjara Negeri Sabah,” katanya.

Mengenai majlis itu, Hajiji berkata sebanyak 450 program percuma yang ditawarkan di Sabah sempena NTW 2024 seperti sesi latihan, bengkel, dan seminar khusus untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan rakyat Sabah.

“Oleh itu, NTW 2024 adalah platform terbaik untuk memperkenalkan semua inisiatif ini kepada rakyat di negeri ini. Dengan adanya pengenalan terhadap program latihan yang komprehensif dan inklusif seperti yang ditawarkan di NTW, kita mampu melahirkan generasi pekerja yang bukan sahaja mahir tetapi juga berdaya saing di peringkat global.

“Marilah kita bersama-sama menyokong NTW 2024 dan menjadikan budaya pembelajaran sepanjang hayat sebagai tunjang utama dalam perjalanan kita menuju kejayaan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular