Membakut : Program Pemerkasaan Usahawan Luar Bandar (PPULB) yang pertama dilaksanakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di daerah ini mampu membantu Kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, menerusi program itu juga, usahawan MARA dapat berkongsi maklumat dan permasalahan yang dihadapai di daerah masing-masing.
“Saya difahamkan MARA juga turut membantu untuk merealisasikan harapan Perdana Menteri kita untuk sama-sama menoktahkan miskin tegar di Sabah dengan usaha bersepadu termasuk MARA itu sendiri.
“Saya juga berterima kasih kepada MARA yang banyak jasanya kepada masyarakat, rakyat serta negara khususnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemerkasaan Usahawan Luar Bandar daerah Membakut di sini semalam.
Program julung kali diadakan di daerah itu telah disertai lebih 60 usahawan MARA dalam pelbagai kluster perniagaan.
Dalam pada itu Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, pihaknya berharap MARA dapat mewujudkan sebuah Kolej Profesional MARA di Sabah bagi membolehkan pelajar di negeri ini melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.
“Kita harap pihak MARA dapat merealisasikan Kolej Profesional MARA di Sabah. Mudahan MARA dapat mempertimbangkan perkara itu (mewujudkannya di Sabah), tidak kira di mana yang penting ada di Sabah.
“Terdapat lima buah Maktab Sains MARA di Sabah dan institusi ini banyak memberi manfaat dan jasa kepada anak-anak di Sabah, justeru dengan adanya Kolej Profesional MARA ia dapat mendokong pendidikan sedia ada, sekaligus menyediakan peluang melanjutkan pengajian, ” katanya.
Pada majlis itu, sejumlah RM10,000 diperuntukkan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) untuk bantuan pendidikan yang diagihkan kepada 100 pelajar B40 dari tiga buah sekolah menengah di daerah Membakut. – SABAH MEDIA