HomeUtamaPremis saji mi sizzling berulat diarah tutup gagal patuhi kebersihan

Premis saji mi sizzling berulat diarah tutup gagal patuhi kebersihan

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Premis yang didakwa menyajikan mi sizzling berulat diarah tutup oleh penguat kuasa Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) kerana gagal mematuhi kebersihan dalam satu Ops Bersih Premis yang dijalankan pada malam Khamis.

Ini susulan tular di media sosial baru-baru ini video memaparkan premis berkenaan menyajikan mi sizzling bersama ayam yang berulat kepada pelanggannya.

Premis makanan mi sizzling berkenaan antara tiga premis makanan yang telah diarahkan tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana kegagalan memastikan premis berada dalam keadaan yang bersih semasa operasi penguatkuasaan akta makanan 1983 dijalankan di Anjung Selera, Likas.

Operasi itu melibatkan kakitangan daripada Unit Inspektorat, PKK Kota Kinabalu dengan kekuatan seramai 22 pegawai penguat kuasa.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Asits Sanna berkata, tujuan operasi ini adalah bagi memastikan semua premis makanan di kawasan Anjung Selera, Likas memenuhi keperluan kebersihan premis seperti yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Operasi ini termasuklah pemeriksaan tempat penyediaan dan penyimpanan makanan, kebersihan pengendali makanan termasuklah status vaksinasi anti-tifoid, rekod menghadiri kursus pengendalian makanan, pemeriksaan Kesihatan, dan pakaian semasa mengendalikan makanan.

“Hasil daripada operasi ini, sebanyak 14 buah premis makanan telah diperiksa. Selain itu, sebanyak empat notis kompaun di bawah Seksyen 32B telah dikeluarkan dan tiga premis makanan telah diarahkan tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Asits, notis kompaun yang telah dikeluarkan adalah disebabkan oleh kegagalan memastikan premis berada dalam keadaan yang bersih dan pengendali makanan tidak mempunyai kursus pengendalian makanan atau suntikan anti-tifoid.

“Orang ramai adalah dinasihatkan untuk memilih premis makanan yang bersih dan sentiasa peka dalam aspek keselamatan makanan.

“Semua pengendali makanan juga turut diingatkan untuk mengamalkan penyediaan makanan yang bersih dan selamat kepada orang ramai,” tegasnya.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan berkaitan isu keselamatan makanan.

RELATED ARTICLES
Utama

Fahami, jayakan Al Falah pemacu Malaysia Madani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular