Kuala Penyu : Taman Pulau Tiga yang dikenali sebagai ‘Survivor Island’ merupakan sebuah destinasi yang menawarkan sesuatu yang berbeza dan unik selain memberi ketenangan rohani dan jasmani.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) Peter Lintar berkata, selain Pulau Tiga, terdapat dua lagi pulau di kawasan berkenaan antaranya Pulau Kalampunian Besar dan Pulau Kalampunian Damit yang lebih popular dengan jolokan Pulau Ular.
“Tidak banyak pulau di kawasan TTS yang memiliki fasiliti lengkap, berjarak dekat dari pesisir pantai namun masih mampu menawarkan sebuah sebuah tapak pelancongan berkualiti dan tersendiri untuk para pelancong, khususnya untuk mereka yang gemar kepada ‘privacy’.
“Taman Pulau Tiga hakikatnya bukanlah sebuah tapak sesuai untuk konsep ‘mass tourism’ seperti mana pulau-pulau di Taman Tunku Abdul Rahman, sebaliknya memiliki potensi dan ‘strength’ dari sudut dan konsep ‘quality tourism’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulangtahun Pewartaan Taman Pulau Tiga kali ke-46 di Taman Pulau Tiga di sini hari ini.
Peter berkata, pendekatan dalam pengurusan, perancangan serta pakej pelancongan harus berbeza dan lain dari yang lain.
Sebagai contoh katanya, TTS boleh memfokus kepada ‘niche activity’ yang boleh dijalankan di kawasan berkenaan.
“Dengan pantai yang panjang, hutan yang luas, paya bakau yang asli serta tapak mud volcano yang unik ini, Taman Pulau Tiga amat berpotensi untuk dijadikan sebagai pusat retreat bagi badan dan syarikat korporat.
“Kebiasaanya badan dan syarikat korporat memilih lokasi yang ‘isolated’ atau terpencil untuk menjalankan program-program retreat mereka. Taman Pulau Tiga memiliki semua elemen-elemen ini,” katanya.
Dalam pada itu, Peter berkara, TTS juga sentiasa mengambil berat terhadap fasiliti-fasiliti asas yang terdapat di Taman Pulau Tiga termasuk melaksanakan penambahbaikan kepada infrastuktur berkaitan.
Katanya, pada tahun ini pihaknya telah melakukan beberapa penambahbaikan kepada infrastruktur seperti menaiktaraf tandas awam yang diiktiraf sebagai tandas lima bintang oleh Majlis Daerah Kuala Penyu.
“Selain itu, kita turut menyelenggara bangunan penginapan, membina pondok rehat pelancong, membina bilik mini audiotorium serta membina pos kawalan baru di Pulau Kalampunian Besar.
“Walaupun Taman Pulau Tiga mencatat rekod kehadiran pelancong yang agak rendah iaitu sekitar 2,704 orang sahaja pada tahun 2023, namun ianya telah menunjukkan peningkatan signifikan pada tahun 2024 dengan 1,878 orang pelancong setakat bulan Mei 2024 dengan unjuran seramai 4,508 orang pelancong sepanjang tahun ini.
“Kita akan berusaha dengan idea-idea baru agar jumlah ini dapat ditingkatkan pada tahun mendatang,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH PARK