HomeUtamaEmpat sekolah daif di Parlimen Pensiangan siap dinaik taraf

Empat sekolah daif di Parlimen Pensiangan siap dinaik taraf

Read Time:1 Minute, 36 Second

Sook : Sebanyak empat buah sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah daif di kawasan Parlimen Pensiangan telah siap dinaik taraf dan diserahkan kepada pihak pengurusan sekolah berkenaan.

Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, antara sekolah terlibat Sekolah Kebangsaan (SK) Inandung, SK Simbuan, SK Penagatan dan SJK (C) Cheng Ming. 

“Manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tulid  berada dalam fasa perancangan dan SMK Nabawan sedang dalam fasa pembinaan. 

“Saya percaya dengan persekitaran pembelajaran yang baik ianya akan memainkan peranan yang penting dalam menjamin keberkesanan pengajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Gantian Penuh di SK Rancangan Belia Tiulon Keningau, Sook di sini hari ini.

Pembinaan bangunan baharu SK Rancangan Belia Tiulon itu merangkumi enam unit bilik darjah, bangunan pentadbiran, lapan unit kuarters guru, sebuah Makmal Sains serta sebuah Bengkel Rekabentuk Teknologi.

Projek itu melibatkan kos peruntukan sebanyak RM26.9 juta dan dijangka siap pada suku keempat tahun 2026.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut berharap dengan adanya fasiliti pendidikan yang kondusif dan selamat, para pelajar akan dapat memberi lebih penumpuan terhadap pembelajaran.

Dalam pada itu, Arthur berkata, projek yang dilaksanakan di SK Rancangan Belia Tiulon itu merupakan inisatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan pembangunan infrastruktur pendidikan yang selesa dan selamat di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. 

Katanya, projek itu turut merealisasikan hasrat beliau dan KPM untuk membina sebuah sekolah yang lengkap di Kampung Rancangan Belia Tiulon sebagai langkah menampung permintaan masyarakat setempat yang semakin meningkat.

“Projek ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam bidang pendidikan berteraskan kepada keperluan rakyat bagi memastikan para pelajar mendapat infrastruktur dan persekitaran pendidikan yang selesa bagi membolehkan mereka mencapai perkembangan diri yang optimum.

“Saya juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada KPM di atas usaha berterusan untuk menaiktaraf dan membina baharu sekolah daif di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Penari cilik Sabah bersinar di Tarian Piala Dunia, bawa pulang 3...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular