HomeUtamaProduk pelancongan baharu akan diperbanyakkan

Produk pelancongan baharu akan diperbanyakkan

Read Time:2 Minute, 13 Second

Tawau : Pelbagai projek pelancongan dirangka melibatkan pelbagai aspek di seluruh Sabah bagi mencipta lebih banyak produk pelancongan baharu di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha ini diambil bagi memperbanyakkan lagi produk pelancongan yang boleh diketengahkan kepada pengunjung termasuk berkaitan kebudayaan.

“Seperti di Tawau, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek pelancongan seperti yang dicadangkan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) untuk membangunkan lagi sektor pelancongan di daerah ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ketika menyempurnakan gimik perasmian sempena Majlis Pecah Tanah Tawau International Cultural Centre (TICC), di tapak pembinaan TICC, Sabindo, di Tawau pada Sabtu.

“Antaranya, membina sebuah resort baharu di Tawau Hills Park yang merangkumi chalet, laluan pejalan kaki, kolam air panas dan menempatkan Pusat Penyelidikan Tenggiling.

“Selain itu, kerajaan melalui KePKAS juga akan menaik taraf kemudahan seperti Jeti Tawau yang membawa pelancong dari Tawau ke Semporna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC) di tapak pembinaan TICC, Sabindo, di sini hari ini.

Hajiji berkata, Tawau yang juga pintu masuk pengunjung ke Taman Laut Tun Sakaran yang popular di Semporna, telah merekodkan seramai 25,684 pelawat dari dalam dan luar negara dalam tempoh Januari hingga April lalu.

Katanya, sehingga kini, terdapat 115 kekerapan penerbangan mingguan dengan 20,200 kapasiti tempat duduk menghubungkan Tawau ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Sandakan.

“Sehingga 15 Jun tahun ini juga, terdapat 32 penerbangan sewa khas dari Nanjing dan Guangzhou, China ke Tawau,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai majlis itu, Hajiji berkata pembinaan TICC sebagai mercu tanda baharu di Tawau, pasti akan menjadi tarikan pelancong ke daerah itu.

“Oleh itu,pembinaan TICC itu tepat pada masanya dan sudah pasti apabila siap kelak, ia akan menjadi tempat penganjuran pelbagai acara kebudayaan termasuk Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT).

“Sudah pasti dengan adanya tarikan-tarikan pelancongan baharu ini, ia akan membantu kita mencapai sasaran 3 juta pelancong ke Sabah pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, berdasarkan statistik Lembaga Pelancongan Sabah (STB), seramai 1.004 juta pelancong datang ke Sabah setakat bulan Januari hingga April tahun ini.

Katanya, ia membabitkan 396,584 pelancong antarabangsa dan 607,371 pelancong domestik.

“Keadaan ini amat memberangsangkan kerana dalam tempoh Januari-April ini, anggaran resit pelancongan adalah sebanyak RM2.23 bilion.

“Pembinaan pusat ini antara persiapan Tawau sebagai bandar paling dekat dengan ibu kota negara Indonesia yang akan berpindah ke Nusantara, yang pastinya akan merancakkan lagi perdagangan dan pelancongan di daerah ini,” katanya.

TICC bangunan satu tingkat dua blok itu yang akan menjadi tempat untuk mempromosikan kebudayaan turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya dewan konvensyen, bilik seminar dan mini teater. – SABAH MEDIA / FOTO JKM

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular