HomeUtamaSESB pandang serius usikan pepasangan elektrik

SESB pandang serius usikan pepasangan elektrik

Read Time:3 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memandang serius ke atas pengusikan pepasangan miliknya yang semakin berleluasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Ir.Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata kejadian yang melibatkan Kes Usikan Pepasangan Meter (KUPM) dan kecurian kabel elektrik milik SESB adalah satu kesalahan yang perlu diambil perhatian oleh masyarakat khususnya pengguna SESB.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menyebabkan SESB kerugian jutaan ringgit tetapi juga boleh mengundang bahaya kepada pelaku.

“SESB tidak akan berkompromi dengan kes melibatkan penggunaan elektrik secara curang ataupun kelakuan usikan ke atas kabel elektrik milik SESB dan akan menuntut gantirugi melalui perintah Mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Menurut beliau, dalam kes sebegini, SESB akan mengeluarkan surat tuntutan kerugian dan membawa kes tersebut ke mahkamah kepada pengguna yang didapati menggunakan elektrik secara curang dan sekiranya pengguna enggan untuk bekerjasama, tindakan yang lebih tegas akan dilaksanakan.

Dalam pada itu, pada 28 Mei, 2024, seorang pengarah syarikat didenda sebanyak RM25,000 atau penjara lima bulan kerana secara tidak jujur menghalang meter kepunyaan SESB untuk merekodkan penggunaan elektrik bagi meter tersebut.

Manakala itu, Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada 21 Jun, 2024 turut menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara ke atas seorang lelaki kerana memotong kabel SESB di kawasan UiTM Sabah.

Hukuman dijatuhkan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mohd Yaakob juga menjelaskan bahawa terdapat beberapa kes lagi yang akan dihadapkan ke Mahkamah bagi tujuan tuntutan gantirugi dan SESB sedang menyusul kes-kes tersebut yang telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Tenaga, Energy Commission of Sabah (ECOS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan tindakan ke Mahkamah.

Perbuatan mengusik atau mengubah suai meter elektrik adalah satu kesalahan di bawah peruntukan Enakmen Bekalan Elektrik 2024 (terpakai bagi Negeri Sabah) atau Akta Bekalan Elektrik 1990 (terpakai bagi Wilayah Persekutuan Labuan).

Sekiranya disabitkan kesalahan, di bawah peruntukan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, pesalah boleh dikenakan denda iaitu tidak melebihi RM100,000 atau perjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala jika sabit kesalahan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 pindaan 2016, pesalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Tindakan boleh dikenakan di bawah peruntukan Sub-seksyen 61(1), 61(3) dan 61(9) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 atau Sub-seksyen 37(1),37(3) dan 37(14) dan kesalahan boleh didenda atau dipenjara, atau kedua-duanya sekali.

Beliau memberitahu di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990, Pindaan 2016, pengguna di bawah kategori domestik yang didapati bersalah kali pertama boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 atau tidak lebih RM50 ribu, atau penjara tidak lebih satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Manakala di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024, pengguna di bawah kategori domestik yang didapati bersalah kali pertama boleh dikenakan denda tidak kurang RM 1,000 atau tidak lebih RM100,000, atau penjara tidak lebih satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kategori komersil, pengguna yang didapati bersalah kali pertama boleh dikenakan denda tidak kurang RM20 ribu atau tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

SESB membuat pemeriksaan secara berkala bagi mengenal pasti pemilik akaun, khususnya premis perniagaan yang memasang sebarang alatan mengusik meter elektrik bagi mengelak penggunaan sebenar direkodkan oleh SESB.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mencuba memasang sebarang alatan mengusik meter kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada SESB, tetapi juga boleh membahayakan nyawa.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, SESB telah meluluskan dasar pemberian imbuhan kepada pemberi maklumat melibatkan maklumat berkaitan dengan Kes Usikan Pepasangan Meter (KUPM) dan Sambungan Elektrik Tidak Sah (SETS).

“Jumlah imbuhan sebanyak 1 % daripada jumlah kerugian hasil SESB kesan kes KUPM atau SETS,” kata Mohd Yaakob.

Pemberi maklumat boleh menghubungi Pengurus Zon/Kawasan SESB untuk melaporkan kejadian KUPM dan SETS atau menghubungi 088-282782, 088-282779 atau 088-282778.

Selain itu, SESB turut menguatkuasakan penggunaan Kad Kuasa kepada pekerja SESB bagi memastikan hanya pekerja SESB yang sah sahaja boleh mencapai pepasangan meter SESB di premis pengguna.

RELATED ARTICLES
Utama

Gagasan Rakyat Kuamut sertai misi bantuan mangsa banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular