HomeUtamaPencapaian pelajar, alumni universiti dalam pelbagai bidang sentiasa diberi pengiktirafan

Pencapaian pelajar, alumni universiti dalam pelbagai bidang sentiasa diberi pengiktirafan

Read Time:2 Minute, 3 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited untuk memberikan sokongan dan dorongan dalam pelbagai aspek khususnya melibatkan pencapaian pelajar dan Alumni yang sentiasa menjadi kebanggaan universiti.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia termasuklah penglibatan serta pencapaian pelajar yang telah mengangkat martabat dan mengharumkan nama universiti.

Katanya, pengiktirafan itu juga diharap menjadi penyuntik semangat kepada para pelajar untuk terus menabur bakti dalam memperkasa diri demi memastikan misi dan visi universiti dan KPT dapat dicapai.

“Justeru, menjadi tanggungjawab universiti untuk menyediakan platform bagi generasi muda meneroka bidang ilmu, menggilap bakat dan potensi, serta menerapkan nilai-nilai murni demi menyediakan generasi pemimpin masa hadapan.

“Mahasiswa perlu mempunyai daya intelektual yang baik serta cakna dengan keadaan semasa agar keputusan yang diambil tidak  mengugat  keharmonian persekitaran. 

“Ilmu yang ada perlu setara dengan adabnya. Ini akan mencerminkan mahasiswa yang berwibawa, kompeten dan holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Hal Ehwal Pelajar dan Alumno (MAHEPA) kali ke-25 Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini semalam.

Hadir sama Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor.

Mustapha berkata,KPT turut mengangkat agenda pemerkasaan mahasiswa sebagai salah satu agenda utama. 

“Pada tanggal 2 April, sejarah   tercipta  apabila   Rang   Undang-Undang Universiti dan Kolej Kediaman (Pindaan) 2023 (RUU AUKU 2023) yang dibacakan buat kali kedua dan ketiga oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir diluluskan setelah mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Negara. 

“Hal Ini menunjukan komitmen KPT dalam memartabatkan harapan mahasiswa yang ingin melihat perubahan dalam landskap organisasi pelajar.

“RUU ini mengandungi lima fasal yang melibatkan enam peruntukan berkaitan kebenaran memungut wang, menerima sumbangan dan menyelenggara kumpulan wang kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau Badan Pelajar, penyelarasan tempoh pemilihan MPP berdasarkan Kalendar Akademik, serta pemantapan tadbir urus tatatertib mahasiswa. 

“Sistem pendidikan negara akan terus menjadi ‘Game Changer’ ke arah melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Dr Kasim berkata, MAHEPA pada tahun ini menyaksikan sebanyak 22 anugerah dipertandingkan yang terbahagi kepada dua iaitu anugerah individu sebanyak 13 anugerah dan berkumpulan sebanyak sembilan anugerah. 

Katanya, anugerah tersebut meliputi enam kluster seperti kepimpinan pelajar; pembangunan sosial; pembangunan akademik dan intelektual; kesukarelawan; kluster khas individu dan berkumpulan. 

“Selain anugerah yang dipertandingkan, MAHEPA juga turut memberi penghargaan kepada para alumni serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan aktiviti hal ehwal pelajar dan alumni,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Utama

Pasukan sukarelawan dicadang diwujudkan bantu mangsa banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular