HomeIsu tempatanSMK St Joseph rangkul juara sketsa muzikal kepenggunaan

SMK St Joseph rangkul juara sketsa muzikal kepenggunaan

Read Time:1 Minute, 59 Second

Kota Kinabalu : Kumpulan sketsa mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph Papar berjaya merangkul juara Pertandingan Sketsa Muzikal Kepenggunaan peringkat negeri Sabah.

Pertandingan yang disertai lima buah sekolah itu disempurnakan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah Georgie Abas di sini semalam.

Dengan kemenangan itu, SMK St Joseph berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 beserta hamper serta sijil penyertaan dan akan mewakili zon borneo ke peringkat kebangsaan di Festival Pengguna Tahun 2024 yang akan diadakan pada 12 hingga 14 Julai di Ipoh, Perak.

Selain merangkul gelaran juara, SMK St Joseph Papar juga berjaya memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Mohamed Ean Arysh Mohamed Izam.

Georgie ketika berucap berkata, pertandingan sketsa muzikal kepenggunaan yang  dianjurkan itu adalah sebuah inisiatif yang amat bermakna dalam usaha untuk mempertingkatkan kesedaran tentang isu-isu, ilmu dan amalan kepenggunaan yang bijak melalui seni dan hiburan.

Katanya, ia terutama kepada masyarakat dan secara khususnya kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di samping mencungkil bakat pelajar-pelajar dalam aktiviti kesenian dan persembahan.

“Dalam dunia yang serba moden ini, pengguna sering kali terdedah kepada pelbagai cabaran dan ancaman.

“Justeru, melalui program seperti ini, mesej-mesej penting tentang perlindungan pengguna dapat disampaikan dengan cara yang kreatif dan menghiburkan.

“Dengan cabaran inflasi dan kos sara hidup masa kini, pelestarian budaya kepenggunaan yang matang, rasional, dan berdaya-upaya perlu bermula dari sekarang dengan menggembleng pengguna muda sebagai agen perubahan.

“Mereka perlu dilengkapi dengan ilmu kepenggunaan yang meliputi pelbagai aspek sosial, kewangan, ekonomi, dan persekitaran semasa,” katanya.

Sementara itu, peserta mewakili SMK Bandaraya Refia Alwina Majungki berjaya memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan membawa hadiah sebanyak RM 5000

Naib juara dan tempat ketiga jatuh kepada SMK Bandaraya dan Kolej Vokasional Kudat dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 dan RM1,000 beserta hamper dan sijil.

Manakala tempat keempat dan kelima diduduki oleh SMK Kota Marudu dan SM Sains Sabah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 500 beserta hamper dan sijil.

Georgie berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPM khususnya Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang menyokong penuh penganjuran program ini.

“Syabas juga diucapkan kepada pihak sekolah yang terlibat terutama guru-guru penasihat Kelab Pengguna Sekolah (KPS) yang begitu komited bersama-sama KPDN dalam menjayakan program mendidik dan melahirkan generasi masa depan negara sebagai pengguna yang berilmu, bijak dan bertanggungjawab,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN Sabah

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular