HomeUtamaWanita ditemui lemas dibawa arus deras banjir di Penampang

Wanita ditemui lemas dibawa arus deras banjir di Penampang

Read Time:1 Minute, 31 Second

PENAMPANG: Seorang wanita berumur 37 tahun ditemui maut dipercayai lemas dibawa arus deras semasa cuba melintasi air banjir di Kampung Hungab dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 10 malam tadi (30 Jun).

“Sebaik sahaja kita mendapat maklumat bahawa satu kejadian mangsa hilang lebih kurang jam 10 malam, semalam, kita telah mengatur gerak penugasan operasi mencari dan menyelamat (SAR), walau bagaimanapun oleh kerana air pasang dengan cepat dan arus deras maka kita hentikan operasi sekitar jam 11 malam tugas mencari dan menyelamat tersebut.

“Kita teruskan operasi SAR pada jam 6 pagi tadi membabitkan seramai dua pegawai dan empat anggota polis, tujuh pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysian (APM) dan 13 anggota bomba,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Sammy, mayat mangsa telah ditemui pada jam 8.00 pagi tadi (1 Julai) di Jalan Penampang Bypass oleh pasukan penyelamat iaitu kira-kira 500 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

“Hasil siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati mangsa bersama suaminya dipercayai berjalan keluar daripada kenderaan mereka yang ditenggelami air berdekatan Jalan Penampang Bypass.

“Mangsa dan suaminya telah terjatuh ke dalam sebuah longkang namun suami mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa telah dihanyutkan oleh arus deras.

“Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan yang bertugas dan mayat mangsa seterusnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk tujuan bedah siasat.

“Kes dipercayai mati lemas dan kita klasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Beliau berkata, mangsa seorang wanita berusia 37 tahun itu dihanyutkan air deras dan dipercayai mangsa cuba melintasi kawasan berair deras kerana pada ketika itu kemuncak air tengah pasang.

“Justeru, kita menasihatkan masyarakat agar sentiasa mematuhi arahan-arahan semasa daripada pusat kawalan operasi bencana atau arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular